Monday, 8 July 2019

Warga Emas Dihempap Atap Terselamat

SHARE


Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 8 Julai- Sebuah keluarga di Kampung Besol Bukit Besi, di sini, melalui detik cemas apabila atap rumah mereka tercabut dan menghempap salah seorang penghuninya ketika angin kencang dan hujan melanda kampung berkenaan, kira-kira jam 6.30 petang, kelmarin.

Mek Jah Mat, 63, berkata, ketika kejadian, dia sedang berada di beranda rumah bersama ibu saudaranya, Rosnah Awang, 70, terkejut apabila mendengar emaknya Mek Jah Dollah 93, menjerit meminta tolong kerana atap rumah telah menimpa diri warga emas itu.

“Mak cik segera mendapatkan emak yang terlantar sakit kerana menderita sakit saraf dan segera alihkan ke tempat lain, syukur kerana dia tidak mengalami apa-apa kecederaan yang serius.

"Semasa di luar rumah mak cik sudah nampak angin kencang yang  berpusar, dan kerana angin menerbangkan atap maka pada masa itu segenap ruang rumah telah dipenuhi air hujan," ujarnya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Besol Bukit Besi, semalam.


Menurutnya, perkara itu segera dimaklumkan kepada Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Besi Cawangan Kampung Besol, Nasharuddin Mohd Salleh.

Nasharuddin berkata, beliau segera ke rumah berkenaan dan telah melihat kebocoran rumah yang dialami akibat atap diterbangkan angin.

Dalam masa yang sama, beliau turut dimaklumkan bahawa tiga buah rumah lain turut terjejas atap rumah akibat ribut kencang berkenaan.

"Kita telah pun bersama dengan Pusat Komuniti Dewan Undangan Negeri (PKMD) dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Bukit Besi telah turun ke lapangan untuk mengenal pasti berapa jumlah sebenar rumah yang terlibat,” ujarnya.

Semenatara itu, Pegawai Khas DUN Bukit Besi, Waliyuddin Johari berkata, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan segera bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

"Maklumat kita telah kumpulkan dan kita dapat tahu bahawa keseluruhan rumah yang terjejas daripada bencana ini adalah seramai 21 buah rumah.

"Di Perumahan Bukit Besi, sebanyak 13 buah rumah, tiga buah rumah di Kampung Besol, manakala bagi MPKK Cawangan Kampung Bukit Besi pula sebanyak 5 buah rumah," ujarnya.

Waliyuddin berkata, beliau telah menghubungi pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Dungun, Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu (MAIDAM) Daerah Dungun untuk tindakan lanjut.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: