Tuesday, 9 July 2019

Turun Had Umur Belia : Terengganu Kaji Implikasi Secara Menyeluruh

SHARE
Wan Sukairi berkata, Kerajaan Terengganu tidak mahu tergesa-gesa dalam isu ini.
MELAKA TENGAH, 9 Julai - Kerajaan Terengganu sedang meneliti dan mengkaji secara menyeluruh keputusan Kerajaan Pusat yang menurunkan had umur belia kepada 30 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah menegaskan, segala implikasi akan diperhalusi sebelum negeri Terengganu memuktamadkan keputusan untuk mengikut atau tidak langkah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tersebut.

Jelasnya, kesan baik dan buruk kepada semua pihak termasuk belia akan dibincang secara kolektif dengan semua pihak yang mempunyai kepakaran dalam isu itu.

"Di Terengganu kita masih berbincang, belum lagi membuat sebarang keputusan dan dalam mesyuarat portfolio (belia) yang diadakan pagi tadi juga, saya telah memaklumkan kepada seluruh jawatankuasa supaya mengkaji terlebih dahulu setiap aspek.

"Segala implikasi yang berlaku sekiranya kita menurut apa yang diputuskan di peringkat Parlimen kita akan kaji. Apa implikasi yang berlaku pada negeri dan belia, perkara itu sedang dipertimbangkan dan keputusannya kita akan umumkan dalam masa terdekat," ujarnya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Anak Perantau Melaka di Dewan Muaalim, Bukit Katil, di sini semalam.

Hadir sama dalam majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim, Presiden Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU), Prof. Dr Kamaruzzaman Yusof, Pengerusi PERANTAU Melaka, Dr Azlan Yusof serta Ketua Jabatan Pengurusan Korporat Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Wan Faizul Wan Abas.

Rabu lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019, antaranya menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

RUU itu diluluskan selepas dibahaskan hampir lima jam oleh 17 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Ia dibentangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.


Selain menurunkan had umur, pindaan lain membabitkan peruntukan tempoh pemegang jawatan dalam sesuatu pertubuhan iaitu tidak kurang daripada 18 tahun dan tidak melebihi 30 tahun pada tarikh pelantikannya.

Hingga hari ini, beberapa negeri seperti Selangor, Sarawak, Johor dan Perlis menyatakan keputusan mereka untuk mengekalkan had umur belia kepada 40 tahun.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: