Friday, 26 July 2019

Tiga Strategi Pacu Projek RMM Terengganu

SHARE

Dr Alias mengatakan kerjasama dengan Kerajaan Pusat akan terus berjalan bagi membantu rakyat memiliki rumah pertama.
KUALA NERUS, 26 Julai - Terengganu terus mengorak langkah dalam usaha melunaskan janji manifesto pilihan raya lalu dengan mewujudkan tiga strategi utama yang bakal merancakkan pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak memaklumkan, strategi yang diatur pihaknya itu bakal melibatkan semua pemain perumahan di Malaysia.

Jelasnya, strategi itu termasuk peruntukan dan penyediaan tanah oleh kerajaan negeri bagi mencapai matlamat untuk membina sekurang-kurangnya 20,000 RMM untuk rakyat Terengganu yang berpendapatan rendah dan sederhana sebagaimana dinyatakan dalam Bajet 2019.

“Kemudian, kerajaan negeri sentiasa melakukan rundingan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Luar Bandar bagi memastikan RMM Terengganu tidak dianaktirikan.

“Kita juga sedang menggalakkan kerjasama daripada agensi swasta bagi penyediaan RMM, dalam masa terdekat ini kita akan keluarkan polisi baharu yang lebih mesra pelabur dan pemaju sekali gus menarik minat mereka,” ujarnya.

RMM kedua di bawah tanggungan kerajaan negeri berjaya dilaksanakan.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pecah Tanah RPMM Tok Jembal, Seberang Takir, di sini semalam.

Hadir sama dalam majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Bentara Dalam A. Rahman Yahya, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab.

Mengulas lanjut tentang strategi itu, Dr Alias berkata, hasil daripada rundingan bersama KPKT, sebanyak RM151 juta telah diluluskan bagi tujuan pembinaan RMM di dua lokasi.

“Hasilnya, KPKT telah bersetuju dengan dua tapak projek RMM yang Terengganu cadangkan, iaitu di daerah Marang (250 unit) dan juga Besut (478 unit),” tambahnya.

Katanya lagi, kerajaan negeri telah mengumumkan dalam Bajet 2019 untuk melaksanakan projek tersebut di empat kawasan.

“Minggu sebelum ini projek RMM di Kampung Tajin telah dirasmikan, hari ini di Tok Jembal, dan selepas ini insya-Allah kita akan umumkan pembinaan di Besut dan terakhir di Gong Cengal, Kemaman," jelasnya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: