Monday, 22 July 2019

'Tiada Aktiviti Pembalakan Di Zon Penampan' - Ariffin Deraman

SHARE

Ariffin Deraman.
KUALA TERENGGANU, 22 Julai - Kerajaan negeri mengehadkan kawasan pembalakan di luar 'Buffer Zone' (BZ) atau Zon Penampan bagi mengelakkan berlaku kesan buruk terhadap alam sekitar terutama di Tasik Kenyir dan kawasan hutan negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman berkata, bagi kelarian sungai atau alur air dalam kawasan lesen disyaratkan ditanda BZ dan disediakan oleh kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT).

"Kelebaran BZ adalah 10 meter minima dan mengikut kelebaran sungai atau alur air. Bagi kawasan lesen pembalakan, sempadan lesen dibuat di luar kawasan BZ," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut berhubung air Sungai Lasir, Tasik Kenyir keruh berikutan aktiviti pembalakan di kawasan berhampiran baru-baru ini.

Katanya, bagi kes kelarian jalan hutan melintasi alur air atau sungai, struktur lintasan alur air (culvert atau pembentong dan jambatan) perlu dibina mengikut spesifikasi yang ditetapkan JPNT.

Jambatan dibina tidak ikut spesifikasi ditetapkan. Foto Ihsan dari JPNT
"Ini antara sebab kenapa aktiviti berkenaan dihentikan, sementara pelesen diarah mengambil inisiatif mengikut peraturan yang ditetapkan sebelum meneruskan kerja-kerja pembalakan," katanya.

Baru-baru ini kerajaan negeri telah dimaklum mengenai air sungai Lasir, Tasik Kenyir Hulu Terengganu didapati keruh kerana aktiviti pembalakan tidak mematuhi spesifikasi Garis Panduan Jalan Hutan 2010 (Pindaan 2013) yang disyaratkan JPNT.

Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat berkata, difahamkan JPNT telah menjalankan siasatan dan mengarahkan operasi pembalakan pelesen di kawasan tersebut dihentikan sementara agar spesifikasi dipatuhi.

Katanya, kekeruhan air Sungai Lasir itu berlaku ekoran daripada aktiviti pembinaan jalan hutan dan sebuah jambatan melintasi anak sungai ke kawasan kelulusan membalak di Kompartmen 20 GS Hulu Terengganu tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: