Monday, 15 July 2019

Sidang DUN : Terengganu Tarik Pelabur, Buka Peluang Kerja Kepada Penduduk Tempatan

SHARE

KUALA TERENGGANU, 15 Julai - Kerajaan negeri komited untuk terus menarik pelabur ke negeri ini yang dilihat mampu membuka lebih banyak jaringan kemudahan dan peluang pekerjaan kepada rakyat sekali gus mengatasi masalah pengangguran.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata, beliau telah bertemu dengan beberapa pelabur asing dari Taiwan, China dan beberapa negeri lain baru-baru ini yang menunjukkan minat untuk melabur di negeri ini.

Bagaimanapun Tengku Hassan berkata, pelaburan berskala besar kebiasaannya memakan masa untuk mereka (pelabur) membuat keputusan sehinggakan ada yang sampai dua, tiga tahun baru boleh mencapai kata putus.

“Justeru, untuk menarik pelabur ke negeri ini, kerajaan negeri mempunyai beberapa strategi, antaranya wujudkan hubungan yang baik dengan pelabur tempatan dan asing, mengadakan promosi pelaburan di luar negara bersama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi mempromosikan produk tempatan di luar negara serta menjalin hubungan dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) untuk mendapatkan pelabur ke negeri ini.

“Kerajaan negeri juga menyediakan insentif yang terbaik kepada pelabur contohnya diskaun kepada premium tanah iaitu 10 hingga 15 peratus bagi yang layak, pembiayaan premium tanah secara ansuran selama setahun, membantu pelabur untuk menerima dan menikmati skim pelaburan yang menarik dan ditawarkan oleh agensi pelaburan serta menyediakan kawasan industri yang mencukupi dan dilengkapi dengan infrastruktur asas,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Rozi Mamat (BN-Telemong) pada Sidang Dewan Undangan Negeri Keempat Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, dengan adanya pelaburan di negeri ini termasuk dalam industri silika dan sebagainya, pihaknya yakin ianya mampu mempermudah usaha kerajaan menunaikan janji manifesto menyediakan 20,000 peluang pekerjaan dalam masa 4 tahun.

“Peluang pekerjaan dalam sektor industri sahaja sehingga 2019 adalah sebanyak 7,057, kita unjurkan pada 2024, jumlah pekerjaan dalam sektor ini yang kita dapat janakan sebanyak 16,750 orang,” ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: