Sunday, 7 July 2019

Terengganu Siasat 417 ‘Lokasi Panas’ Disyaki Tercemar

SHARE
Dr. Alias ketika ditemui baru-baru ini.
KUALA TERENGGANU, 7 Julai - Kerajaan Terengganu melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) giat melakukan siasatan ke 417 ‘lokasi panas’ yang disyaki tercemar dikhuatiri terdapat sisa buangan toksik bagi mengelakkan tragedi pencemaran Pasir Gudang berlaku di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak memaklumkan, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengenal pasti lokasi-lokasi disyaki berlaku pembuangan toksik dan pencemaran kimia menggunakan satelit di seluruh negara.  

“Bagaimanapun, sebahagian siasatan yang telah dilakukan PBT mendapati tiada bahan buangan dan sisa kimia dikenal pasti sebaliknya terdiri daripada kawasan kandang-kandang lembu, penyimpanan baja dan sebagainya.

“Surat makluman perkara ini kita terima pertengahan bulan lalu dan hujung bulan lepas tindakan telah diambil secara segera untuk mengenal pasti lokasi-lokasi ini,” katanya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman di Kuala Nerus, baru-baru ini.

Beliau turut menambah, kerajaan negeri akan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk memantau perkembangan tersebut.

“Kita akan tubuh satu jawatankuasa khas berperanan mengesahkan kawasan-kawasan panas yang dilaporkan serta penguatkuasaan kawalan bahan buangan sisa kimia secara berkala.

“Walaupun belum wujud secara rasmi, siasatan berkaitan perkara ini telah mula dilaksanakan dan setakat ini, semuanya didapati bukan bahan kimia,” katanya.

Berkaitan kejadian pencemaran bahan kimia di selatan tanah air yang kini telah berulang sebanyak dua kali, Dr. Alias menegaskan, ia merupakan tragedi yang perlu diberi perhatian serius.

“Pencemaran mungkin berpunca daripada amalan pengilang-pengilang kita yang sering mengambil kesempatan di atas kelonggaran penguatkuasaan.

“Bagi negeri ini, penguatkuasa kita buat pemeriksaan berjadual sebagaimana kebiasaannya dan sejak berlakunya kejadian tersebut, kita telah mengetatkan penguatkuasaan dari masa ke masa,” katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: