Friday, 12 July 2019

Terengganu Sasar Lebih Ramai Atlet Ke Peringkat Antarabangsa - Wan Sukairi

SHARE

KUALA NERUS, 12 Julai - Kerajaan negeri menyasarkan lebih ramai atlet-atlet negeri akan terpilih mewakili negara ke peringkat antarabangsa melalui perancangan jangka panjang Pelan Induk Sukan Sepuluh Tahun Negeri Terengganu (2021-2030).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pelan induk itu akan menjadi rujukan utama dalam proses persiapan setiap pasukan atau atlet bagi menyertai kejohanan-kejohanan sukan kebangsaan dan antarabangsa.

"Melalui pelan ini,  kita mampu menghantar lebih dari dua nama ke peringkat antarabangsa dalam tempoh 10 tahun akan datang.

"Jika sebelum kita ada dua wakil atlet di peringkat ini iaitu Azizul Hasni dan Siti Rahmah tetapi dengan pelan ini kita sasarkan lebih dan ia merupakan antara kelainan yang terdapat dalam pelan induk kali ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Bengkel Pelan Induk Sukan Sepuluh Tahun Negeri Terengganu (2021-2030) di Dewan Banquet, Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ibni Amin Busu dan timbalannya, Ahmad Shahrizal Yahaya.


Bengkel kali ini melibatkan hampir 200 peserta terdiri daripada presiden-presiden dan wakil-wakil persatuan sukan yang terdapat di Terengganu.

Terdahulu, bengkel selama empat hari tersebut bertujuan menyediakan satu perancangan yang kukuh dan lebih berfokus bagi semua sukan untuk tempoh 10 tahun akan datang yang bermula pada 2021.

Ianya merupakan kesinambungan kepada Pelan Induk Pembangunan Sukan Sepuluh Tahun Negeri Terengganu sebelum ini yang akan berakhir pada 2020 yang mampu menghasilkan kejayaan cemerlang bagi sukan negeri di persada kebangsaan dan antarabangsa.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: