Monday, 15 July 2019

Sektor Perindustrian Terengganu Catat Nilai Pelaburan Lebih RM800 Juta

SHARE

KUALA TERENGGANU, 15 Julai -  Terengganu terus kekal kukuh sebagai sebuah destinasi pilihan bagi pelaburan asing dan domestik dalam sektor perindustrian.

Ini dibuktikan melalui tempoh sepanjang tempoh Jun 2018 hingga Jun 2019 dengan Terengganu berjaya merekodkan pelaburan berjumlah RM801.55 juta secara keseluruhan.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM480.62 juta adalah pelaburan asing dan bakinya RM320.92 juta pula pelaburan domestik.

“Pelaburan ini turut memberi peluang pekerjaan kepada 2,096 orang.

“Jenis pelaburan pula seperti  yang terdapat di Kerteh lebih kepada ‘biochemical’,  kalau di Kemaman  pula industri minyak dan gas termasuk besi waja manakala yang  berunsurkan kayu di Wakaf Tapai, Marang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik pada Sidang Dewan Undangan Negeri Keempat Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai status kawasan perindustrian Batu 7 di Dungun yang dikatakan tidak ada pembangunan, Tengku Hassan berkata, hampir 90 peratus daripada 184 lot yang terdapat di kawasan tersebut tidak beroperasi.

“Daripada keseluruhan 184 lot, 44 peratus tidak beroperasi manakala terdapat 86 lot belum ada pemilik menjadikan hanya sepuluh peratus sahaja yang beroperasi dan aktif.

“Kita pun tidak tahu apa masalahnya, dan apa yang kita tahu terdapat beberapa masalah infra di situ seperti masalah jalan masuk, air dan elektrik. Setakat ini tidak ada permohonan untuk penyelesaian masalah ini tapi kita akan lihat perkara ini kembali,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Wan Hapandi.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: