Wednesday, 17 July 2019

Terengganu Peruntuk RM410,000 Program Pembangunan Tanah Terbiar

SHARE

KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Kerajaan negeri menerusi Jabatan Pertanian Negeri Terengganu memperuntukkan sebanyak RM410,000 bagi program pembangunan tanah terbiar tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, berdasarkan data Bahagian Perancangan Strategik Jabatan Pertanian Malaysia, Terengganu merupakan negeri kedua tertinggi yang mengusahakan tanah terbiar.

“Terengganu memiliki seramai 1,051 orang pengusaha tanah terbiar dan kita merupakan negeri kedua dari segi kejayaan mengusahakan tanah terbiar selepas daripada Pahang yang memiliki seramai 1,130 orang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Alias Harun (PAS-Rantau Abang) pada Sidang Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, semalam.

Menurut Dr. Azman, Terengganu mempunyai lebih daripada 10,000 hektar tanah terbiar dan mempunyai insentif dari segi pembangunan tanah terbiar sebanyak kadar maksimumnya RM20,000 untuk satu hektar.

“Ianya boleh digunakan untuk tujuan pembersihan kawasan, penyediaan sistem perparitan, membeli utiliti sama ada baja, racun, anak pokok dan sebagainya sehinggalah kepada peringkat pemasaran,” ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: