Sunday, 28 July 2019

Terengganu Hasrat Himpun Pendikir Muda - Sulaiman Sulong

SHARE
Sulaiman Sulong.
Oleh: Khairan Mat Jusoh

MARANG, 28 Julai - Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Persatuan Penggiat Seni Dikir Negeri Terengganu merangka untuk menganjurkan himpunan pendikir muda secara besar-besaran sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, tahun hadapan.

Menurut Timbalan Pengerusi Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Sulaiman Sulong, hasrat itu sekali gus bakal merealisasikan himpunan mega yang membabitkan seni tradisional itu buat julung kalinya.

"Kita menyasarkan penyertaan paling kurang seramai 2020 orang peserta bagi melayakkan kita menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Records sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 itu nanti," katanya.


Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian penutup pada kemuncak Pekan Budaya Marang di Pantai Kelulut, semalam.

Majlis itu turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Razak; Pegawai Pendidikan Daerah Marang, Mohamad Nawawi Rani dan Yang Di Pertua Majlis Daerah Marang, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim.

Karnival Pekan Budaya yang berlangsung selama dua hari menampilkan pelbagai acara kebudayaan disamping pameran produk tradisi yang melambangkan identiti masyarakat Marang kepada umum.

Dalam tumpuan sama, pertandingan Dikir Barat   yang diadakan di karnival berkenaan dimenangi kumpulan dikir dari Sekolah Menengah Padang Kemunting, Kuala Nerus.

Acara yang dipertandingkan diantara sekolah-sekolah dari lapan daerah dalam negeri itu turut mengetengahkan bakat-bakat baharu dalam seni dikir barat Terengganu.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: