Wednesday, 31 July 2019

Terengganu FC Sedia Hadapi Saingan Piala Malaysia

SHARE
Hishamuddin Abdul Karim. Foto ihsan - Media TFC
KUALA TERENGGANU, 31 Julai – Motivasi pasukan naib juara Piala Malaysia 2018, Terengganu Football Club (TFC) berada pada tahap terbaik menjelang perlawanan pertama Piala Malaysia 2019 menentang PKNS FC Jumaat ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim berkata, anak buahnya sudah bersedia untuk berdepan cabaran Piala Malaysia musim ini selepas melakukan beberapa persiapan memantapkan pasukan.

Katanya, kemampuan para pemain akan dibuktikan dalam kancah saingan tersebut lebih-lebih lagi apabila berada satu kumpulan bersama juara Piala FA 2019, Kedah.

“Walaupun dalam keadaan beberapa pemain yang cedera, tetapi kita telah menyusun kembali pasukan dengan baik, dan saya percaya pemangku jurulatih, Nafuzi Zain telah melakukan kerja yang baik bagi membina pasukan yang mantap.

“Semangat pasukan berada pada tahap tinggi, kita sentiasa memberi motivasi dan insya-Allah mereka akan buat yang terbaik apatah lagi kita adalah naib juara musim lalu,” katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.
Serhii Andrieiev yang dinaikkan daripada TFC II beraksi cemerlang menetang JDT baru-baru ini.

Sementara itu, pemain pertahanan TFC, Serhii Andrieiev berikrar memberikan aksi terbaik untuk memastikan benteng pertahanan skuad Penyu sukar ditembusi penjaring terbanyak Liga Super 2019 yang juga penyerang PKNS FC, Kpah Sherman.

Pemain kelahiran Ukraine itu berkata, beliau tidak mahu mensia-siakan kepercayaan yang diberikan oleh Nafuzi Zain serta rakan sepasukan baharunya dan akan diterjemahkan ketika TFC menerima kunjungan The Red Ants di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

“Memang ada sedikit kelainan apabila bermain dengan skuad 'abang' (TFC) berbanding ketika dengan pasukan asal iaitu TFC ll terutama daripada segi kualiti atau falsafah permainan kerana ia adalah di satu tahap yang lain.

“Bagaimanapun saya akan cuba sehabis baik untuk mempamerkan aksi lebih mantap bagi membantu pasukan memenangi perlawanan pertama itu nanti,” ujarnya.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: