Monday, 22 July 2019

Terengganu Desak Perubahan Peraturan Bot Laut Dalam

SHARE
Dr Azman (tiga dari kanan) melihat kemudahan disediakan di Pelabuhan Perikanan Chendering.
Oleh: Hidayah Azlin

KUALA TERENGGANU, 22 Julai - Kerajaan Terengganu terus komited mendesak penambahbaikan dasar dan peraturan penggunaan bot laut dalam kelas C dan C2 demi kebaikan nelayan tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata menjadi isu panas apabila pelabuhan dan jeti perikanan Terengganu didakwa menjadi ‘port’ nelayan asing.

Katanya, kerajaan negeri sedang menunggu keputusan kajian dibuat oleh Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Dato' Salahuddin Ayub yang dijanjikan dalam masa tiga bulan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

"Memang kita tidak menafikan bahawa ramai nelayan asing berkeliaran di pelabuhan perikanan termasuk di Chendering. Puncanya kerana ada peraturan yang membenarkan bot laut dalam kelas C dan C2 menggunakan tekong dan awak-awak nelayan asing.
Dr Azman (dua dari kanan) menyatakan sesuatu ketika melawat Pelabuhan Perikanan Chenderig petang semalam.

"Saya dimaklumkan bahawa untuk lesen bot kelas C, dibenarkan penggunaan awak-awak nelayan asing termasuk tekong yang majoritinya dari Vietnam sehingga 80 peratus. Disyaratkan 20 peratus sahaja untuk nelayan tempatan. Sementara bot kelas C2, dibenarkan 100 peratus penggunaan awak-awak nelayan asing termasuk tekong,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada media selepas lawatan kerja di Pelabuhan Perikanan Chendering, di sini petang semalam.

Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata agensi penguatkuasaan tidak dapat mengambil sebarang tindakan kerana mereka berada di pelabuhan dengan kebenaran tanpa melanggar peraturan.

"Selagi dasar dan peraturan tidak diubah, kita tidak dapat menyelesaikan masalah ini. Tuan lesen adalah orang tempatan, tetapi bot dioperasikan oleh orang asing,’’ jelasnya.

Sementara itu katanya tidak ada pendaratan ikan dibuat oleh bot nelayan asing di semua pelabuhan perikanan di Terengganu kerana ia adalah satu kesalahan dari segi undang-undang negara.

Serentak itu beliau menafikan dakwaan kononnya terdapat bot asing Vietnam yang berlabuh di pelabuhan perikanan tersebut.

"Buat apa mereka datang serah diri. Pencerobohan bot nelayan asing ini berlaku di laut lepas." katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: