Monday, 22 July 2019

Tapak Kompleks Sukan Mini Marang Terengganu Sedang Diteliti

SHARE
Wan Sukairi (tengah) meneliti tapak cadangan di Padang Kekabu. 
MARANG, 22 Julai - Tapak Kompleks Sukan Mini Marang sedang diteliti dan dikaji sebelum proses mempersiapkan tapak berjalan sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri telah mengenal pasti dua lokasi sesuai untuk dibina kompleks sukan yang akan memberi manfaat kepada ratusan ribu penduduk di sana.

Jelasnya, Bukit Mawi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang dan Padang Kekabu di kawasan DUN Bukit Payung adalah dua tempat terpilih yang akan diteliti sebelum salah satunya dipilih bagi menjayakan pembinaan itu.  

“Selepas ini kita akan berbincang dan mengkaji (daripada sudut kos dan kesan) dengan beberapa pihak bagi dua tempat ini untuk kita dirikan kompleks tersebut yang diberikan bajet oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Kompleks sukan ini akan menempatkan kemudahan bagi sukan-sukan utama seperti trek olahraga, bola sepak dan beberapa sukan ‘indoor’ lain yang sekali gus akan meningkatkan lagi prestasi sukan di daerah dan negeri ini.

Wan Sukairi berkata, pembinaan projek itu akan mengambil kira soal kos dan implikasi kepada penduduk setempat.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Tapak Cadangan Pembinaan Kompleks Sukan Mini Marang di Bukit Payung dan Bukit Kor, di sini semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Daerah Marang (MDM), Mohd Huzairil Nizam Ibrahim,  Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang, Wahad Osman, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Batu 9, Mamat Jusuh serta Pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) dan KBS.

Mengulas lanjut, Wan Sukairi memaklumkan, pihaknya tidak meletakkan sebarang tempoh kepada pihak terlibat khususnya JKR dan MDM untuk menyiapkan anggaran kasar serta implikasi projek di dua tempat tersebut.

“Kita sedang menilai tapak yang terbaik, jadi kita tidak meletakkan satu tempoh yang tertentu.

“Walau bagaimanapun, kita harap pemilihan tapak yang sesuai ini kita dapat selesaikan dalam masa satu hingga dua bulan ini,” tambah beliau.

Pada Februari lalu, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan sebuah kompleks sukan mini bakal dibina di daerah Marang.
 
Turut meneliti tapak cadangan kedua di Bukit Mawi.
Menurut Dr. Samsuri, pembinaan kompleks sukan bernilai RM4 juta itu merupakan satu daripada 10 projek Kementerian Belia dan Sukan Malaysia yang diluluskan untuk negeri Terengganu bagi tahun 2019.

“Lebih menarik, kita juga menerima tambahan satu lagi projek iaitu kompleks sukan mini buat warga Marang,” katanya.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: