Saturday, 27 July 2019

SUTERA 2019 : Cungkil Bakat Baru Dari Kampung

SHARE
Ustaz Wan Sukairi (kiri) mencuba permainan karom di Felda Tun Abdul Ghafar Baba Kemendor Jasin Melaka.

MELAKA, 27 Julai - Sukan Terengganu (SUTERA) 2019 sebagai 'platform' terbaik untuk mengetengahkan bakat yang ada pada anak negeri dari kampung dan lapan daerah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Ustaz  Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, dengan demikian hasrat kerajaan negeri  menjadikan negeri Terengganu, sebagai negeri kuasa sukan utama di Malaysia akan dapat dicapai.

"Ia dapat dicapai  sekiranya para atlet daripada seluruh pelusuk kampung dan daerah dapat menampilkan bakat-bakat mereka," katanya ketika ditemui dalam sesi ziarah perantau anak Terengganu di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said.

Katanya, SUTERA 2019 akan berlangsung pada 5 hingga 9 September, merupakan sukan julung-julung kali diadakan di negeri ini.
Ustaz Wan Sukairi (kanan) ketika bercakap kepada pemberita di Kampung Semabuk, Duyong Melaka.

Menurut beliau setiap daerah dari lapan daerah di seluruh Terengganu sedang sibuk mengadakan persiapan untuk menyertai sukan tersebut.

"Saya telah dimaklumkan  bahawa pegawai-pegawai daerah di setiap daerah yang bertindak sebagai pengurus atlet, masing-masing telah mengadakan mesyuarat dengan semua persatuan-persatuan sukan yang berada dalam daerah berkenaan.

"Matlamat kita untuk menghidupkan Majlis Sukan Daerah dan  Persatuan sukan daerah telah tercapai," jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata, sekarang ini mereka sibuk mempersiapkan pasukan dan para atlet juga sedang giat melakukan latihan.

"Kita yakin pada 5 September ini kita akan dapat sama-sama saksikan, SUTERA 2019 yang akan dilaksanakan dengan jayanya," ujarnya.

Ustaz Wan Sukairi (kanan) menziarahi anak bermasalah kesihatan di Taman Serkam Ria Melaka hari ini.
Katanya, objektif SUTERA 2019, antaranya ialah untuk mencungkil bakat-bakat baru yang berada di kampung dan daerah sebagai persiapan untuk mengetengahkan mereka dalam apa juga bidang sukan yang disertai untuk mewakili Terengganu dan seterusnya, menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) 2020.

"Kita yakin mungkin ada bakat-bakat baru yang akan muncul dalam SUTERA kali ini yang dapat kita masukkan untuk sama-sama menyertai kontinjen Terengganu dalam SUKMA 2020," jelasnya.

Menurut beliau terdapat 16 acara sukan yang akan dipertandingkan dalam SUTERA 2019 sebahagian daripadanya adalah acara wajib dan sebahagian lain merupakan acara pilihan.

"Antara lain katanya, termasuk bola sepak, badminton, hoki, sukan berbasikal dan ini adalah sukan-sukan teras yang Terengganu menguasainya, Insya Allah kita akan cuba menguatkan sukan-sukan ini," katanya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: