Tuesday, 9 July 2019

'Sila Berkuliah Jika Pejabat Agama Beri Kelulusan' - Ustaz Mohd Nor Hamzah

SHARE

 
Ustaz Mohd Nor Hamzah
KUALA TERENGGANU, 9 Julai - Kerajaan Negeri tidak pernah menyekat penceramah berkelayakan untuk berceramah di masjid jika mendapat kelulusan dari mana-mana Pejabat Agama Daerah di Terengganu.

Serentak itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah menafikan pembatalan kuliah seorang penceramah luar dari Terengganu disebabkan motif politik.

"Tidak ada sebarang pembatalan kelulusan mengajar berasaskan latar belakang kepartian. Semua pengisian untuk ceramah agama di masjid boleh dibuat permohonan melalui Pejabat Agama (Daerah) masing-masing," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung berkata, jika ada desas desus berlaku demikian, ia boleh disifatkan sebagai satu sikap prejudis pihak tertentu terhadap institusi agama negeri Terengganu.

Ini kerana menurut beliau kerajaan negeri tidak terlibat dengan keputusan yang dibuat oleh mana-mana pejabat agama daerah di negeri Terengganu.

Katanya adalah tidak benar jika mendakwa kerajaan negeri terbabit dalam membuat keputusan pentadbiran pejabat berkenaan.

"Tidak ada sekatan bagi penceramah yang berkelayakan, Jika (mereka) dapat kelulusan, kita mengalu-alukan (penceramah berkenaan) untuk mengajar di masjid terbabit," ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: