Tuesday, 16 July 2019

Kerajaan Pusat Belum Putus 'Option' Bayaran Balik 'Hutang' Kepada Terengganu - MB

SHARE
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
KUALA TERENGGANU, 16 Julai - Kerajaan Persekutuan masih belum membuat keputusan terhadap pilihan (option) bayaran hutang kerajaan negeri secara sekali gus dan kerajaan negeri tidak berputus asa untuk meneruskan rundingan bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri telah mencadangkan 'option' tersebut untuk melangsaikan semua hutang kerajaan negeri kepada Kerajaan Pusat secara sekali gus tetapi tidak ada keputusan dibuat sama ada menerima atau menolak 'option' itu sehingga hari ini.

"Memang antara 'option' yang kerajaan negeri berikan kepada pihak Kerajaan Persekutuan adalah menerima cadangan bayaran sekali gus dengan mengambil kira jumlah hutang Lebuh Raya Pantai Timur (LPT2) belum dibayar Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1.43 bilion dan Dana Khas (RM440 juta).

"Bagaimanapun tidak ada keputusan dibuat untuk bayaran pilihan tersebut sehingga sekarang," katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, di sini hari ini.

Katanya, Kerajaan Persekutuan masih 'berhutang' dengan kerajaan negeri sebanyak RM1.43 bilion dari jumlah keseluruhannya RM1.65 bilion untuk projek LPT2.

"Ingin saya jelaskan bahawa berdasarkan kepada penyata memorandum di dalam penyata kewangan negeri, Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai hutang dengan kerajaan negeri.

"Bagaimanapun terdapat bayaran balik yang masih belum dijelaskan oleh Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri," jelasnya.

Bayaran balik itu juga disifatkan sebagai 'hutang' Kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri yang berjumlah RM1.65 bilion.

Katanya, ini termasuk bayaran balik LPT2 berdasarkan surat yang diterima dari Kementerian Kewangan bertarikh 15 Mac 2018 berjumlah RM1.43 bilion.

Menurut beliau, bayaran balik Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) berdasarkan minit Mesyuarat DKKP Bilangan 1 Tahun 2012 yang bertarikh 15 Januari 2012 adalah berjumlah RM220 juta.

"Jumlah sebenar penggunaan wang kerajaan negeri bagi pembinaan LPT2 adalah sebanyak RM1.85 bilion.

"Jumlah yang telah disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan pada kerajaan negeri bagi melunaskan bayaran 'hutang' tersebut sehingga Jun 2019 adalah berjumlah RM418.5 juta," ujarnya.

Justeru katanya, yang belum dilunaskan oleh Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri bagi pembinaan LPT2 adalah sebanyak RM1.43 bilion.

Beliau yang juga ADUN Rhu Rendang berkata, jumlah keseluruhan bayaran balik DKKP adalah sebanyak RM2.20 bilion berdasarkan keputusan Jemaah Menteri dan Mesyuarat DKKP Bilangan 1 tahun 2012 yang telah diadakan pada 15 Januari 2012.

Mesyuarat itu memutuskan bahawa setiap tahun kerajaan negeri menerima pembayaran balik DKKP berjumlah RM220 juta bermula tahun 2011 dan akan berakhir pada tahun 2020.

"Bagaimanapun sehingga kini, kerajaan negeri belum lagi menerima bayaran tersebut, hanya berbaki untuk tahun 2019 dan 2020.

"Bagi tahun 2019 dengan merujuk kepada surat yang dihantar oleh Kementerian Kewangan kepada kerajaan negeri bertarikh 28 Februari 2019, Menteri Kewangan menyatakan penangguhan bayaran tersebut," jelas beliau.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri tidak berhasrat untuk mengambil alih LPT2 untuk menyelesaikan bayaran balik 'hutang' Kerajaan Pusat itu.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: