Tuesday, 16 July 2019

Seni Halus, Sukan Tradisi 'Pucuk Muda' Pelancongan Terengganu

SHARE
Wan Sukairi nyata kesediaan semarak sukan-sukan lama.
KUALA TERENGGANU, 16 Julai - Pelan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman untuk mengetengahkan perusahaan seni halus dan tradisional sebagai salah satu aspek tarikan pelancong ke Terengganu disambut baik Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Mengulas keputusan tersebut, Wan Sukairi turut menyatakan kesediaan mengangkat sukan-sukan tradisi menjadi elemen penting dalam pelancongan negeri.

“Kita akan menghidupkan kembali sukan-sukan lama lebih-lebih lagi sebahagiannya mempunyai kaitan dengan sukan-sukan moden.

“Saya jangka pada awal tahun 2020, kita akan mengadakan program-program sukan tradisi ini di seluruh kampung dalam Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Majlis Pelancaran Kad Sejahtera di Wisma Darul Iman, hari ini.

Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berharap agar usaha itu berfungsi sebagai antara aspek yang mengangkat Terengganu sebagai negeri penuh budaya dengan identiti tersendiri.

Mohd Nurkhuzaini ketika menjawab soalan lisan ADUN Wanita.
Dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Keempat Belas hari ini, Mohd Nurkhuzaini yang menjawab soalan ADUN Wanita, Zuraida Md. Noor menjelaskan, seni halus dan tradisional memliki potensi untuk dibangunkan.

“Justeru, pihak kami melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) telah mendaftarkan Perbadanan Harta Intelek (myIPO) bagi industri tembaga, batik, songket dan sebagainya bagi menjayakan hasrat ini.

“Kami turut bekerjasama dengan Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) mencari pewaris yang menyambung kesinambungan seni tembaga negeri itu,” katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: