Wednesday, 31 July 2019

Semangat Kejiranan Eratkan Masyarakat

SHARE

Oleh: Izzat Al-Qushairi

SETIU, 31 Julai- Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Wakaf Tengah dan jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Wakaf Tengah telah menganjurkan program Bicara Perdana Kejiranan yang membincangkan topik Komuniti Mardhotillah di Taman Melor Wakaf Tengah Batu Rakit, baru-baru ini.

 Ahli panel program wawancara berkenaan ialah Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail, Ketua Pemuda PAS Batu Rakit, Mohd Khairul Nizam Mohd Rozali dan Mohamad Nasrullah Kamaruddin selaku moderator.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, tujuan utama program tersebut diadakan adalah untuk mengembalikan nostalgia dan memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat setempat.

“Perkembangan teknologi yang pesat merupakan suatu perkara yang bagus bagi memudahkan urusan harian kita namun perkara ini juga menjadi antara punca kerutuhan moral dalam sistem kejiranan.


“Ini kerana, kebergantungan yang penuh terhadap teknologi akan mengelakkan manusia daripada berinteraksi,” ujarnya ketika berucap merasmikan program tersebut.

Menurut beliau, sistem kejiranan merupakan unsur utama bagi sesebuah komuniti dan dalam syariat Islam jiran juga telah dikategorikan sebagai salah satu urusan iman yanag mana tidak sempurna  iman (ada kecacatan iman) seseorang itu sekiranya ia meremeh, mengabai dan mencabuli syariat kejiranan.

“Komuniti kejiranan yang aman dan harmoni boleh dicapai dengan mengamalkan konsep taaruf atau berkenalan, kerana titik perkenalan akan membuahkan perasaan hormat dan bertoleransi.

“Tambahan pula, perlunya akan semangat kerjasama dan iltizam bersama jiran tetangga bagi melancarkan kehidupan seharian,” ujarnya.

Katanya, semangat kejiranan bukan sahaja penting dalam mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat malah sumbangannya cukup besar terutama bagi memastikan umat Islam terus cemerlang dan mampu berdaya saing pada masa akan datang dan mencapai redha Ilahi.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: