Saturday, 20 July 2019

Rumah Mampu Milik Bakal Dibina Di Marang Terengganu

SHARE
Dr Alias Razak (tengah).
MARANG, 20 Julai - Projek Rumah Mampu Milik (RMM) yang berharga RM68 ribu seunit di bawah seliaan kerajaan negeri bakal dibina di Bukit Gasing, di sini pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, perancangan awal projek RMM melibatkan empat lokasi terpilih dan dua daripadanya di Marang serta Besut telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Jelasnya, projek yang akan dibangunkan di dua tempat berkenaan membabitkan kos keseluruhan bernilai RM151 juta untuk tahun ini.

“Pada asalnya kita bagi dua cadangan lokasi di Marang, iaitu Bukit Gasing dan Pulau Kerengga, yang dipilih adalah Bukit Gasing ini.

“Dengan jumlah itu, kita yakin ia dapat menampung keperluan penduduk di Bukit Gasing khususnya dan juga daerah Marang ini untuk menjalani kehidupan seharian,” ujarnya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas berucap dalam Program Marang Sihat di perkarangan Masjid Bukit Gasing, di sini hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Pegawai Kesihatan Daerah Marang, Dr Tan Sin Yew dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Gasing, Ismail Ibrahim.

Menurut Alias lagi, usaha tersebut membuktikan kerajaan negeri sentiasa peka dengan pembangunan luar bandar bagi memastikan kelompok itu tidak ketinggalan daripada menerima manfaat.

Katanya, ia juga sekali gus akan memastikan rakyat yang berumur 21 tahun ke atas mendapatkan lot tanah atau kediaman selaras dengan manifesto yang dijanjikan.

“Semoga perkara ini akan mencapai matlamat kita, iaitu untuk memberi rumah pada setiap rakyat Terengganu yang berumur 21 tahun ke atas, insya-Allah.

“Kita juga akan berusaha untuk perbanyakkan lagi RMM di daerah-daerah lain tetapi kita utamakan dahulu di kawasan yang terdesak dan mudah mencari tanah,” tambah beliau.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: