Wednesday, 24 July 2019

Rumah Kucing Pulau Kerengga Bakal Ditransformasi

SHARE

Oleh: Aslam Wira

MARANG, 24 Julai - Rumah Kucing atau 'Cat Shelter' di Pulau Kerengga yang menempatkan kucing terbiar akan diberi lebih perhatian dari sudut bantuan perubatan dan transformasi sangkar yang lebih baik.

Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman berkata, ia akan dilaksanakan dengan mengadakan perbincangan dengan agensi-agensi yang berkaitan  seperti Veterinar sebagai langkah menyediakan kemudahan perubatan buat kucing yang ditempatkan disini.

“Saya difahamkan, mereka memerlukan peruntukan sebanyak RM800 sebulan untuk bekalan perubatan di samping keperluan vaksin dan pemandulan secara one-off.


“Selain bantuan perubatan, sangkar itu akan ditransformasikan dengan ‘Quary Dust’ sebagai langkah menjaga persekitaran yang sihat untuk kucing-kucing terbiar,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tempat perlindungan kucing di Pulau Kerengga berikutan aduan yang diterima di laman sorsial rasmi Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Badan bukan Kerajaan (NGO) Unicat Kingdom, Yanti Sani, wakil Majlis Daerah Marang, Penyelia Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri(DUN) Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng dan Pengerusi MPKK Kuala Tengah, Abdan Awang.

Sementara itu, Yanti berkata, pusat perlindungan di bawah Majlis Daerah Marang itu telah menampung dalam 100 ekor kucing yang dikutip oleh penguatkuasa tidak termasuk yang dibuang oleh orang ramai di kawasan sekililing.

Tambahnya, objektif penubuhan NGO tersebut adalah membantu kucing terbiar supaya boleh dipelihara oleh orang awam yang cintakan kucing dan pernah memohon sumbangan orang ramai dan pencinta kucing untuk menampung pembelanjaan perubatan di pusat tersebut.

“Saya  menyarankan apabila kucing berjaya dijaga dengan rapi dan bebas daripada penyakit, satu aktiviti boleh diadakan bersama komuniti sama ada melibatkan belia atau pencinta kucing untuk memelihara di rumah.

“Ini adalah bagi memupuk kesedaran di kalangan masyarakat bahawa bukan sahaja kucing cantik yang berharga ribuan ringgit mampu dijaga dengan baik dan perlu diberi perhatian,” jelasnya.

Untuk rekod, Rumah Kucing yang dijaga oleh seorang petugas tersebut telah dibina sejak tahun 2016, malah 80 peratus kucing yang sakit kini telah dirawat namun masih memerlukan rawatan dan pemeriksaan secara berkala dari masa ke semasa.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: