Tuesday, 23 July 2019

RM6.9 Juta Peruntukan SPAIT Sejak 2011

SHARE

KUALA TERENGGANU, 23 Julai - Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah menyalurkan sebanyak RM6,986,641 peruntukan di bawah Asnaf Fi Sabilillah Maidam Terengganu untuk program Sijil Pengajian Agama Islam Terengganu (SPAIT) sejak 2011.

Yang Dipertua Maidam, Dato’ Osman Muda berkata, SPAIT merupakan salah satu pendekatan bagi pengisian kerohanian khususnya kalangan mereka yang berusia 25 tahun ke atas bertujuan meme­nuhi keperluan pengajian Islam secara lebih tersusun dan sistematik.

Katanya, program yang mula diperke­nalkan pada tahun 2011 itu turut bertujuan bagi mengembalikan imej dan peranan Terengganu sebagai pusat pengajian agama terulung dan telah mendapat sambutan menggalakkan di kesemua daerah negeri ini.

“Ianya dibahagikan kepada tiga peringkat di mana pada tahun ini sebanyak 22 kelas Ibtidaie (peringkat awal), 15 kelas tahap kedua iaitu Mutawassit dan tahap Mutaqaddim sedang berjalan dengan jumlah pelajar seramai 2,251 orang yang mengikuti pengajian dua kali seminggu di seluruh negeri melibatkan subjek aqidah atau tauhid, feqah dan akhlak atau tasawwuf.

“Sebanyak RM6,986,641 telah diperuntukkan sejak program ini diadakan dan untuk tahun ini sahaja peruntukannya sebanyak RM2 juta,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Sijil Pengajian Agama Islam Terengganu (SPAIT) Peringkat Negeri Kali Ke-4 di Taman Tamadun Islam, hari ini.


Dalam majlis itu, seramai 734 orang pelajar telah menerima sijil masing-masing.

Bagi kelas Ibtidaie, Zaleha Ali telah dipilih sebagai pelajar terbaik keseluruhan untuk sesi 2017/2018, manakala Abdullah Che Yaacob pula terpilih sebagai pelajar terbaik keseluruhan kelas Mutawassit bagi sesi 2017/2019 dan Norzida Mamat dinobatkan pelajar terbaik keseluruhan untuk kelas Mutadaqqim bagi sesi 2016/2018.

Ketiga-tiga pelajar terbaik tersebut turut menerima wang tunai RM1,000 dan plak penghargaan.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: