Monday, 29 July 2019

RM60 Ribu Baik Pulih Lata Cangkah, Lata Payung Terengganu

SHARE
Ariffin (tengah) berdiri di atas jambatan gantung uzur yang menjadi laluan ke gunung Sarut dari Lata Payung.
Oleh: Ariss Alias

SETIU, 29 Julai - Peruntukan segera sebanyak RM60 ribu telah diluluskan untuk membaik pulih infrastruktur di dua tempat rekreasi terkenal di sini, Lata Cangkah dan Lata Payung.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, ia sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk menyelesaikan beberapa isu kemudahan pusat pelancongan yang menjadi rungutan pengunjung.

“Untuk jangka pendek peruntukan segera bagi membaiki infrastruktur di Lata Cangkah dan Lata Payung, ia akan melibatkan semua jabatan di peringkat daerah untuk menjayakan pelaksanaan itu.

“Kami (kerajaan) juga akan bekerjasama dengan pejabat daerah, majlis daerah dan jabatan pelancongan akan merangka strategi serta pelan jangka masa panjang dengan perancangan bajet melebihi RM1 juta,” katanya

Beliau berkata demikian selepas ditemui media di Lata Payung, di sini semalam.
Kemudahan di Lata Cangkah yang memerlukan pembaikian segera.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah (Promosi) Jabatan Pelancongan Negeri, Ahmad Fathil Abd Ghani, Pegawai Daerah Setiu, Haji Sophian Abu Bakar, Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Mohd Iskandar Muhammad Aziz dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Zul Bhari Abd Rahman.

Jelas Ariffin lagi, Gunung Sarut yang terletak berhampiran Lata Payung turut akan dilengkapi infrastruktur bagi menarik lebih ramai pelancong sekaligus merancakkan lagi pembangunan sosio ekonomi di sana.

“Insya-Allah, jambatan gantung yang menjadi laluan masuk ke Gunung Sarut pula akan diangkat untuk pelaksanaan projek pada tahun hadapan.

“Perkara yang paling penting juga ialah apabila selesai baik pulih infrastruktur, semua harus mengambil tanggungjawab untuk melaporkan kepada pihak kerajaan sekiranya terdapat sebarang kejadian (kerosakkan) demi menambah baik industri pelancongan di Terengganu,” tambah beliau.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Langkap, Azmi Maarof yang turut hadir berkata, beliau gembira dengan dana segera yang diumumkan kerajaan negeri termasuk perancangan projek jambatan gantung ke Gunung Sarut.
Gunung Sarut.
“Gunung Sarut ini merupakan gunung tertinggi di Setiu dengan ketinggian 1,229 meter dari paras laut, sekiranya infrastruktur lengkap dibina saya yakin ini akan melonjakkan Daerah Setiu sebagai destinasi pilihan utama pelancong dari dalam dan luar negeri,” ujarnya.

 

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: