Friday, 5 July 2019

RM20 Ribu Bagi Baik Pulih Rumah Dhaif

SHARE


Oleh : Khairuddin Yusoff

HULU TERENGGANU, 5 Julai -Sebanyak RM20,000 dilluluskan bagi membantu membaikpulih sebuah rumah dhaif yang dihuni satu keluarga  di Kampung Pengkalan Ajal, Ajil.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil,  Maliaman Kassim berkata, peruntukan itu bagi menambah bilik dan tandas di rumah keluarga tersebut.

“Pertama sekali kita ucapkan terima kasih di atas keprihatinan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pengkalan Ajal yang prihatin dengan keluarga Mahizan Mansor yang mempunyai empat anak perempuan mereka terpaksa berkongsi satu bilik  dengan keadaan tandas pula berada di luar rumah.

“Alhamdulillah, bila kita turun dan  lihat kedaifan keluarga ini dan saya meluluskan bantuan RM20,000  untuk menambah bilik dan membaikpulih rumah dengan bilik air supaya mereka merasa lebih selamat dan selesa, ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Hulu Terengganu, Penghulu Mukim dan Juruteknik Pejabat Daerah Hulu Terengganu (PDHT), baru-baru ini.

Turut hadir, Penghulu Mukim Hulu Berang, Khairul Anuar Musa, Pegawai JKM Hulu Terengganu,  Norazmy Adenan, Pegawai Khas ADUN Ajil, Ahmad Furqan Ismail dan Pengerusi MPKK Pengkalan Ajal,  Safari Ishak,

Sementara itu, Norazmy Adenan berkata, JKM akan meneliti keperluan dan bantuan susulan  yang akan diberikan kepada keluarga ini memandangkan ada anak mereka yang masih bersekolah.

“JKM akan datang semula ke rumah ini dan kita akan lihat keperluan bantuan sebab kita sedia maklum ada empat orang anak yang masih bersekolah.

“Jadi kita akan datang semula untuk menyemak keperluan dan akan memaklumkan bantuan kanak- kanak kepada ibubapa mereka, jelasnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: