Tuesday, 9 July 2019

Rakyat Terengganu Perlu Bersama Lindungi Penyu

SHARE

Kanak-kanak tertarik melihat anak penyu meluru ke laut.
DUNGUN, 9 Julai - Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menyeru rakyat negeri itu supaya bersama-sama agensi berkenaan dalam usaha melindungi penyu daripada ancaman luar.

Pengarahnya, Zawawi Ali berkata, reptilia tersebut yang sinonim dengan negeri Terengganu itu semakin diancam kepupusan berikutan kurangnya kesedaran awam mengenai perlindungan haiwan itu.

"Pada tahun 2018, terdapat pengurangan pendaratan penyu di negeri ini iaitu sebanyak 3,815 kali berbanding 3,888 kali pada tahun 2017.

Zawawi merasmikan pelepasan anak penyu.
"Rekod jabatan menunjukkan pendaratan Penyu Belimbing kali terakhir berlaku pada dua tahun lalu, manakala Penyu Lipas pula sudah tidak kelihatan sejak 2010," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Pelepasan Anak Penyu di The Qamar Resort, Paka, hari ini.

Hampir 2,000 anak penyu dilepaskan di pantai berkenaan sebagai salah satu usaha menyampaikan mesej kepada orang ramai bahawa penyu merupakan haiwan yang perlu dilindungi.

Zawawi turut berharap usaha itu dapat membuka mata banyak pihak untuk bekerjasama dalam melindungi haiwan itu.

Seorang kanak-kanak menunjukkan anak penyu yang akan dilepaskannya.
"Setiap tahun kerajaan negeri dengan kerjasama Persekutuan memperuntukkan RM5,00,000 untuk tujuan pengurusan dan pembangunan penyu negeri.

"Bagaimanapun, ia masih belum mencukupi bagi memastikan pemuliharaan penyu dapat dijalankan sepenuhnya," katanya.

Beliau menzahirkan rasa terima kasih kepada The Qamar Resort yang sering menyertai dan menyumbang dalam program pembangunan yang dijalankan.


"Sedar atau tidak, kebanggaan negeri ini sedang lenyap perlahan-lahan.

"Kita memerlukan kerjasama awam dan swasta untuk bertindak menangani ancaman kepupusan ini," katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: