KUALA TERENGGANU, 11 Julai- Kerajaan negeri menerusi Jabatan Perikanan Negeri Terengganu (JPNT) hari ini melancarkan kempen Selamatkan Laut Kita yang bertujuan memupuk kesedaran dalam diri nelayan mengenai kepentingan menjaga kebersihan laut dan persisir pantai.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani
dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, bertemakan ‘Jangang Tohok
Sapoh Llaut’, Terengganu merupakan negeri pertama mengadakan kempen berkenaan
dengan mengharapkan supaya sampah yang dihasilkan nelayan tidak lagi
dibuang ke laut sebaliknya dibawa ke darat untuk dilupuskan.
“Berdasarkan
jumlah bot yang berdaftar dengan JPNT pada tahun
2018 sebanyak 2,578 buah, jika sebuah bot membuang sampah dengan anggaran
sekilogram yang terdiri daripada pembungkus makanan, botol dan beg plastik dari
bekalan makanan yang dibawa ketika beroperasi di laut, dijangkakan hampir 2,578
kilogram sampah telah dihasilkan sehari.
“Jika sampah-sampah
ini tidak dikembalikan semula ke darat dan laut terus dijadikan tong sampah,
dianggarkan dalam tempoh setahun, nelayan di negeri ini akan membuang sampah
sebanyak 940 metrik tan ke laut,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas
menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Selamatkan Laut kita Dan Penyerahan
Projek Unjam EAFM Daerah Kuala Terengganu di Jeti Nelayan Kampung Pulau Duyong,
hari ini.
Turut hadir, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu,
Zawawi Ali.
Menurut beliau, berdasarkan kenyataan yang
dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang telah memberikan amaran
bahawa menjelang tahun 2050, jika keadaan ini berterusan dijangkakan laut akan
mengandungi lebih banyak sampah sarap berbanding ikan yang merupakan sumber
pendapatan kepada nelayan.
“Sehingga kini, hampir 170 juta metrik tan sampah
berupa plastik hanyut yang kelihatan seakan obor-obor di lautan sehingga
disalah anggap sebagai makanan oleh haiwan seperti penyu, ikan paus, ikan
lumba-lumba dan sebagainya dan ini merupakan suatu yang sangat membimbangkan
kerana ianya menjadi ancaman serius kepada habitat laut.
Katanya, fokus kerajaan negeri untuk menyelamatkan
laut daripada sisa-sisa sampah dan langkah proaktif itu diambil bagi mewujudkan
kesedaran di kalangan nelayan termasuk dengan menyediakan tong sampah di setiap
jeti di seluruh negeri ini.
Justeru katanya, menerusi kempen tersebut diharap
dapat mendidik nelayan supaya dapat membuang tabiat menjadikan laut sebagai
tong sampah dan dapat bersama-sama JPNT memikul tanggungjawab
menjaga sumber dan perairan laut negeri ini untuk manfaat bersama.
“Kita turut menggalakkan komuniti nelayan memberi
tumpuan terhadap kebersihan pantai dengan mengadakan program gotong-royong dan
sebagainya,” ujarnya.
0 komen: