Sunday, 28 July 2019

PKD Bukit Besi Bina Jambatan Antara Industri Dan Tenaga Kerja Tempatan

SHARE
Ghazali sewaktu kunjung hormat ke Fortress Mining, Syarikat Lombong Bijih Besi.
Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 28 Julai - Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) berusaha menjalinkan hubungan baik bersama pihak industri, para usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) serta para usahawan tani setempat.

Pegawai Penyelaras DUN , Ghazali Sulaiman berkata,  selain membina persefahaman antara pihak industry dan pentadbir tempatan, langkah berkenaan membuka peluang pekerjaan kepada belia-belia setempat.

"Kita telah mengenal pasti kilang-kilang dan usahawan IKS yang beroperasi di Bukit Besi untuk kita dekati.

"Surat rasmi telah pun kita hantarkan supaya mendapat kebenaran bagi melawat tempat-tempat yang kita senaraikan," katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Pusat Khidmat Masyarakat DUN (PKMD) Bukit Besi, hari ini.

Jelasnya, jalinan hubungan itu dilaksanakan demi pembangunan belia di DUN Bukit Besi supaya sentiasa mendapat maklumat berkenaan peluang-peluang yang ditawarkan pihak industri.
"Bagi IKS dan usahawan tani, kita akan melakukan kunjungan serta melihat keperluan untuk mengubungkan mereka dengan agensi-agensi tertentu bagi memperkembangkan lagi perusahaan mereka.

“Antaranya ialah dengan memanfaatkan peranan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Jabatan Pertanian, dan pelbagai agensi yang berkaitan,” katanya.

Tambahnya, perkembangan sesuatu perusahaan pastinya membuka ruang  kerja kepada tenaga-tenaga belia setempat yang masih belum mempunyai pekerjaan selain mewujudkan pembangunan  sejahtera di DUN tersebut yang akan menguntungkan semua pihak.

"Ini adalah salah satu dari usaha kami melaksanakan peranan yang diamanahkan oleh kerajaan negeri untuk menunaikan janji manifesto dalam mewujudkan peluang pekerjaan ke arah mencapai Terengganu Maju Berkat dan Sejahtera (TMBS)," katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: