Wednesday, 17 July 2019

Pindaan Enakmen Keluarga Islam Selesai Masalah Perceraian - ADUN Wanita Terengganu

SHARE
Zuraida Md Noor.
KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Rang Undang-Undang (RUU) baharu berkaitan pindaan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017 mampu menyelesaikan pelbagai masalah perceraian apabila diluluskan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor berkata, pindaan itu melibatkan seksyen 27 yang bertujuan mewujudkan jawatan Timbalan Ketua Pendaftar bagi melaksanakan tugas-tugas Ketua Pendaftar.

Jelasnya, lambakan dokumen yang perlu diuruskan dengan segera terutamanya apabila keuzuran dan ‘ketidakupayaan’ Ketua Pendaftar untuk menandatangani dokumen berkaitan menyebabkan berlaku tunggakan Surat Perakuan Cerai (SPC).

“Ini menyebabkan Bahagian Undang-Undang Keluarga Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menghadapi masalah mengeluarkan surat perakuan cerai. Apatah lagi, secara purata sehari, sebanyak 10 permohonan cerai dikemukakan termasuk permohonan cerai taklik dan perceraian luar mahkamah.

“Juga tiada apa-apa peruntukan dalam Enakmen Ibu yang memberi kuasa kepada Ketua Pendaftar untuk menurunkan kuasanya kepada orang lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berbahas menyokong pindaan usul berkenaan pada Sidang Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, semalam.

Mengulas lanjut tentang kesan jika enakmen itu tidak dipinda, beliau menegaskan akan berlaku implikasi besar yang akan menambahkan lagi masalah dan beban keluarga.

Katanya, antara masalah yang akan timbul ialah pemohon tidak dapat memohon untuk berkahwin semula atau berkahwin lain memandangkan proses memohon kebenaran berkahwin perlu dilampirkan bersama SPC.

“Pemohon tidak dapat memohon Bantuan Sara hidup (BSH), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) dalam masa yang ditetapkan memandangkan pihak berkuasa menghendaki lampiran SPC jika pemohon berstatus ibu atau bapa tunggal.

“Urusan persekolahan anak juga akan terkesan jika penjaga membuat pemohonan pertukaran sekolah dan bantuan sekolah kerana perkara-perkara ini perlulah dikepilkan bersama SPC,” tambah beliau.

RUU yang bernama Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) (Pindaan) 2019 itu telah diluluskan sebulat suara dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-14 Tahun 2019, semalam.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: