Sunday, 7 July 2019

Piagam Muafakat Nasional PAS-Umno Ambil Kira Kepentingan Bersama - Takiyuddin

SHARE

KUALA TERENGGANU, 7 Julai - Piagam Muafakat Nasional yang mengukuhkan lagi ‘taawun siyasi’ antara PAS dan Umno yang akan dibentangkan pada 10 Julai  ini bakal menyaksikan perkongsian seimbang kedua-dua parti melalui perjanjian berkenaan.

Setiausaha Agung PAS, Dato' Takiyuddin Hassan berkata, mesyuarat tersebut akan dibarisi oleh lima orang wakil untuk aspek teknikal, manakala peringkat jawatankuasa membabitkan 11 wakil bagi setiap parti, yang mana turut dianggotai oleh kepimpinan tertinggi.

"Kita akan meneliti piagam yang telah disiapkan dan jika tidak ada masalah berbangkit, akan dimeterai persetujuan antara dua pihak pada mesyuarat jawatankuasa berkenaan yang diketuai timbalan presiden parti masing-masing.

"Piagam ini akan meletakkan kepentingan dua parti secara seimbang dan kepentingan kedua-duanya turut diambil kira," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Perasmian  Bengkel Literasi Dewan Undangan Negeri Terengganu di Camelia Grand Ballroom, Paya Bunga Square, di sini hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Negeri, Yahaya Ali dan bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Menurutnya lagi, piagam yang hampir tiga muka surat menyentuh  kepentingan dua parti berkenaan yang merangkumi pelbagai aspek.

Namun begitu, Takiyuddin enggan menjelaskan kandungan piagam itu dengan alasan ia masih terlalu awal untuk diumumkan.

Ta'awun Siyasi PAS dan Umno bakal menyaksikan perkembangan positif apabila pemimpin tertinggi kedua-dua parti itu  menandatangani draf akhir piagam serta dokumen perjanjian persefahaman mengenai kerjasama itu.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: