Saturday, 6 July 2019

Pengerusi MPKK Felda Jerangau Rugi RM100,000 Rumah Terbakar

SHARE


Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 6 Julai – Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Felda Jerangau Cawangan A, Mohd Sidek Muhammad rugi hampir RM100,000 selepas rumahnya terbakar petang semalam.

Menurut saksi kebakaran, Mohd Ridzuan Muhd Diah, kejadian yang melibatkan dua buah rumah itu berlaku ketika semua ahli keluarga tiada di rumah.

Jelasnya, kebakaran yang berlaku pada pukul 1.25 petang sewaktu menghampiri waktu solat jumaat itu terjadi dengan begitu pantas.

“Pada awalnya terdengar bunyi deruman enjin seperti lori dihidupkan, sebelum disusuli bunyi letupan yang meletus berulang kali, ketika itu saya bersiap-siap untuk pergi solat Jumaat cemas terdengar bunyi itu segera keluar dan terkejut apabila terlihat percikan api dari rumah jiran yang berselang lima buah rumah dari rumah saya.

“Kemudiannya api begitu marak dan pantas menyambar rumah kedua, panik dengan keadaan demikian saya terus menghubungi pihak bomba. Saya dan beberapa orang jiran yang menyedari kejadian itu cuba memadamkan api kebakaran dengan mengangkut air dan mengunakan penyambung wayar air paip, namun air tidak kuat menyebabkan api tak dapat dipadamkan," katanya ketika ditemui media semalam.

Ridzuan turut menyatakan bahawa api yang marak dari kedua-dua rumah berkenaan mula menyambar rumah ketiga, menyedari kejadian itu, dia dan beberapa orang yang ada disitu segera memecahkan beberapa keping atap kerana risau api akan marak dan sempat mengalih barang-barangan penting yang ada di rumah berkenaan dan cermin tingkap rumah yang ketiga itu yang dimiliki oleh Minah Hassan, 68.

“Nasib baik rumah ketiga tidak merebak teruk dan bomba telah datang bagi mengawal api yang sedang marak itu,” jelasnya.


Sementara itu, Mohd Sidek pula berkata, selepas dimaklumkan oleh jirannya tentang kejadian berkenaan, beliau bersama isterinya, Norasmawati Razali, 43, segera berpatah balik ketika dalam perjalanan ke Kota Bharu kerana ingin mengiringi adik iparnya untuk berangkat menunaikan haji di Mekah.

“Alhamdulillah, nasib kami baik semua empat orang anak bersama kami, dan tiada di rumah, cuma terkilan rumah berkenaan adalah rumah warisan.

“Ketika memandu saya merasakan bahawa akan terjadi sesuatu yang buruk bakal berlaku dan semasa saya terlelap sedang isteri memandu saya terdengar isteri mengucap panjang dan memaklumkan bahawa rumah kami diami telah terbakar,” jelasnya.

Anggaran kos kerugian adalah RM 100,000 kerana beliau memaklumkan semua barang didalam rumah musnah, termasuk alat penguli tepung membuat roti canai, dua mesin basuh, dua televisyen, sofa dan semua barang-barangan lain.

Rentetan daripada peristiwa berkenaan, Pengerusi MPKK Felda Jerangau Cawangan B, Anuar Omar berkata, pihaknya telah berhubung dengan pihak pengurusan Felda dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi.

“Alhamdulillah Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman telah turun dan telah pun memaklumkan perkara berkenaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang telah pun turun menyiasat dan menilai kerugian serta akan diberi bantuan.


“Sementara pihak pengurusan Felda pula melancarkan tabung bencana segera, dan buat sementara waktu Mohd Sidek akan ditempatkan di rumah Kuartes Kilang Felda Jerangau untuk sementara waktu, dan akan diadakan perbincangan daripada pihak pengurusan Felda adakah setiap rumah ini mempunyai insuran dan boleh menerima pampasan.

Dalam pada itu, Ghazali Sulaiman berterima kasih kepada Pegawai Felda Wilayah Terengganu, En. Helmi Fakzan memberi penyelesaian segera untuk menempatkan Muhd Sidek yang telah kehilangan semua harta benda.

“Semoga mangsa tabah menerima ujian ini. Allah akan sentiasa menguji dan menduga dengan ujian yang hebat kepada hambaNya yang hebat, sementelah lagi Mohd Sidek telah menjalankan tugasnya dengan sempurna sebagai pengerusi MPKK,” jelas beliau.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: