Wednesday, 24 July 2019

Penduduk Besol Kembali Aman

SHARE
Awang Besol. Foto ihsan - PERHILITAN

Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 24 Julai- Penduduk Kampung Besol yang terdiri daripada 20 keluarga kini kembali menjalani kehidupan seperti biasa tanpa diiringi lagi kebimbangan sebagaimana ketika kejadian harimau belang sesat berkeliaran di kampung itu, baru-baru ini.

Harimau berkenaan yang dikenali "Awang Besol”yang ditangkap Jabatan Perlindungan Haiwan dan Hidupan Liar (Perhilitan) pada 19 Julai lalu selepas berkeliaran di sekitar Kampung Besol Lama, disahkan mati di Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) di Sungkai, Perak kira-kira jam 5.30 pagi, semalam.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Besol, Nasharuddin Salleh berkata, kini penduduk sudah mula berani menghantar anak ke sekolah dan keluar bekerja seperti biasa.

"Ianya tidak seperti pada awalnya, dimana penduduk sangat bimbang untuk keluar dari rumah dan kehidupan mereka agak terganggu dengan kehadiran harimau berkenaan, bagaimanapun kini keadaan semakin baik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman mengulas mengenai keadaan dan keselamatan penduduk Kampung Besol.

Sebagai Pengerusi MPKK Besol, beliau menzahirkan rasa syukur kerana kampung berkenaan kembali selamat.

Dalam perkembangan sama, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, pencarian seekor lagi harimau sebagaimana yang didakwa oleh penduduk diteruskan.

"Saya telah bertindak menghubungi Pegawai Perhilitan Daerah menyatakan pencarian harimau diteruskan dengan dikecilkan anggota operasi.

"Ketika mula-mula operasi Jumaat yang lalu ianya terdiri daripada 22 anggota, selepas tertangkapnya harimau yang dikenali 'Awang Besol' maka anggota dikecilkan kepada 16 orang, dan sekarang ini hanya tinggal anggota perhilitan daerah sahaja seramai tiga orang yang masih tinggal bagi menjejaki yang seekor lagi," ujarnya.

Katanya, menurut pihak perhilitan daerah pada ketika ini masih belum ditemui kesan ataupun tapak baru yang dilalui oleh harimau terbabit dan sekiranya masih belum menjumpai jejak operasi berkenaan akan berakhir pada minggu ini.

Menurut beliau, kematian ‘Awang Besol’ yang telah ditangkap oleh pihak perhilitan baru-baru ini dan telah disahkan meninggal semalam sememangnya meninggalkan satu kesan abadi kepada penduduk.

"Ianya adalah satu sejarah buat DUN Bukit Besi, kehadirannya seketika namun memberi makna yang tersendiri, seolah-olah menghantar mesej ataupun pesanan kepada masyarakat dunia bahawa kehadirannya mungkin bagi meminta perlindungan," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau selaku Penyelaras DUN berkenaan berterima kasih kepada pihak terlibat iaitu Jabatan Perhilitan Negara Malaysia, Polis DiRaja Malaysia dan semua yang telah bertungkus lumus mengembalikan serta berusaha bagi meletakkan kampung berkenaan kembali selamat.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: