Saturday, 27 July 2019

Pekan Budaya Marang Terengganu Masuk Kalendar TMM2020

SHARE
Ariffin Deraman.
MARANG, 26 Julai - Kerajaan Terengganu bercadang untuk memasukkan program Pekan Budaya Marang ke dalam kalendar pelancongan Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, usaha berkenaan dilihat mampu mengangkat program yang memaparkan pelbagai aktiviti kebudayaan penduduk Marang sejak dahulu hingga kini ke peringkat lebih tinggi.

Jelasnya, menerusi program tersebut, masyarakat dapat mengenali dengan lebih mendalam keunikan budaya, warisan, kesenian, masakan tradisional Terengganu serta cara hidup para nelayan pesisir pantai yang menjadi identiti negeri itu.

"Penganjuran Pekan Budaya Marang 2019 ini juga bertujuan untuk mempromosikan lebih banyak aktiviti dan destinasi pelancongan bagi menarik pelancong menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Pekan Budaya Marang 2019 di Pantai Kelulut, di sini hari ini.

Gimik perasmian Pekan Budaya Marang.
Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.

Mengulas lanjut, Ariffin berkata, kerajaan negeri meletakkan sasaran seramai 50,000 pengunjung akan hadir memeriahkan program tersebut yang bermula hari ini hingga Isnin hadapan.

Pelbagai aktiviti menarik disajikan buat para pengunjung, antaranya pertandingan memancing dan menjala ikan, pertandingan istana pasir, pukat tarik pantai, jahit pukat, demonstrasi masakan tradisional, tumbuk emping, anyaman atap nipah, silat tempur dan gasing pangkah.

Turut menjadi tumpuan ialah pertunjukan dan pertandingan 'beyblade' yang menjadi kegilaan para remaja masa kini.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: