Wednesday, 31 July 2019

Pasar Payang 2 Ada Daya Tarikan Tersendiri

SHARE

KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Sebahagian daripada peniaga Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) yang telah berpindah kini menikmati kemudahan bangunan baharu yang lebih bersih serta lokasi yang strategik dan selesa untuk berniaga di tapak sementara  iaitu Pasar Payang 2.

Pemindahan sementara peniaga yang menjalankan perniagaan di 762 lot peniagaan di PBKP adalah untuk memberi laluan kepada pembangunan semula PBKP dan memberi nafas baharu kepada destinasi ikonik itu.


Bagi Nur Ahmad Mohammad, dia menyifatkan perpindahan sementara ini sebagai sesuatu yang positif untuk semua pihak dalam jangka masa panjang.

“Masalah tu biasalah terutama bagi tempat baharu tetapi untuk jangka masa panjang kita tengok mende (perkara) ni akan jadi satu daya tarikan sebab pasar payang ni dekat dengan pemangkin utama  macam Syahbandar, dengan jambatan baharu, view (pemandangan) kita comel dan tapak ni agak selesa untuk sementara ni, alhamdulillah.

“Dari segi kemudahan, di sini lebih baguslah sebab pasar lama dah uzur. Kita sedia maklum doh (dah) keadaan pasar ikan nak runtuh dan bila buat pasar ni ibarat satu nafas baharu serta lebih positif untuk ke hadapan.

"Walaupun pasar lama kita dah banyak kenangan tetapi orang kata jangan hidup dalam kenangan, kena improve (maju) sokmo (sentiasa). Insya-Allah ada kebaikan di pasar baharu,” katanya ketika ditemui wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Pasar Payang 2, baru-baru ini.

Nur Ahmad yang berniaga dengan menjual rempah ratus memberitahu, dia gembira kerana pelanggan tetapnya dapat mencari lokasi tempat dia berniaga kerana kawasan berkenaan lebih tersusun, luas dan mudah untuk pelanggan mencari sebarang keperluan termasuk mencari peniaga tetap mereka.

Tan Yi Shuenn.
Sementara itu, peniaga barang runcit, Tan Yi Shuenn, 55, turut menzahirkan rasa syukur dengan perpindahan lokasi itu walaupun merasa sedikit ketidakpuasan hati mengenai lot yang agak sempit berbanding di PBKP.

“Kita pindah pasar baharu ni, rasa comel dan bersih malah dari segi pelancongan pula ramai orang datang dan harap lebih maju. Dari dulu dah pindah empat kali dan rasa pasar ni ok (baik) serta selesa.

“Saya berharap di lokasi baharu ini, kita dapat menjaga kebersihan. Kita mahukan keselesaan, kemudahan dan kemajuan ke arah yang lebih baik,” katanya.

Tambahnya, kedua-dua lokasi juga mempunyai keistimewaan tersendiri dan menjadi punca rezeki kepada dia dan keluarga. Lokasi di tempat baharu juga strategik dan pelanggan ramai berkunjung ke lot kedainya.

Yusri Marzuki.
Bagi seorang pengunjung dari Kuala Lumpur, Yusri Marzuki, dia kini lebih mudah untuk memilih barang-barang keperluan di lokasi baharu memandangkan kawasannya lebih luas. Keunikan bukan hanya ditonjolkan melalui reka bentuk bangunan, tetapi juga persekitaran yang mempamer suasana berbeza dan tersendiri.

“Saya tengok  susun atur lot cantik dan menarik, syukur Alhamdulillah ianya juga selesa untuk pengunjung walaupun belum siap sepenuhnya.

“Bahagian-bahagian lot yang dibuat nampak cantik sama macam pasar di Vietnam,”katanya.

Untuk rekod, Pasar Payang lama akan diroboh dan dibuat semula dengan fasiliti yang lebih lengkap. Projek di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dianggarkan menelan kos kira-kira RM78 juta dengan RM26 juta bagi pembinaan lokasi sementara.

Manakala, kos bagi pembinaan semula Pasar Payang dijangka menelan belanja RM41 juta dan dijangka siap pada 25 Januari 2021.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: