Friday, 19 July 2019

‘Pak Belang’ Tumpas

SHARE
Foto ihsan - Perhilitan

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 19 Julai - Seekor harimau belang yang berkeliaran di Kampung Besol, Bukit Besi di sini sejak semalam akhirnya berjaya ditangkap di kampung tersebut petang tadi.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, ‘pak belang’ itu berjaya ditangkap oleh anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam operasi yang bermula pagi tadi.

Jelasnya, keadaan itu sedikit melegakan orang kampung namun operasi mencari seekor lagi harimau tetap diteruskan.

“Jabatan Perhilitan Malaysia masih lagi mengekalkan perangkap, kerana maklumat yang diterima menyatakan hanya ada seekor tertangkap, jadi seekor lagi masih berkeliaran.

Harimau pertama ditangkap selepas terkena ubat ubat pelali sebelum menembaknya dan menyebabkannya rebah dan harimau itu berada dalam keadaan sihat di bawah pemantauan Pegawai Veterinar dan kakitangan jabatan Perhilitan,” katanya semasa ditemui media dalam operasi mencari harimau itu.


Jelasnya lagi, harimau yang ditangkap itu akan dibawa ke tempat dan lebih selamat untuk dirawat dan dijaga. 

“Haiwan itu dijangka dipindahkan ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) secepat mungkin, tambahnya selepas dimaklumkan oleh Pegawai Perhilitan.

Semalam, kira-kira pukul 9 pagi, dua ekor harimau itu ditemukan berkeliaran di kawasan kampung Besol sehingga menimbulkan rasa takut dalam kalangan penduduk malah turut tular di laman sosial.

Sehubungan itu, satu operasi khas bagi mengesan dan menangkap harimau berkenaan telah dijalankan sejak semalam.

Operasi itu melibatkan Jabatan Perhilitan Pahang, Jabatan Perhilitan Perak, Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu, Perhilitan Daerah Dungun, dan Perhilitan Daerah Kuala Berang.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: