Thursday, 25 July 2019

Operasi Terjah Sungai Lasir: JPNT Turun Padang

SHARE
Mohd Rahim (kiri) menyatakan sesuatu agar pelesen membaik pulih semula jambatan yang dibina bagi mengelakkan air sungai Lasir terus keruh.

HULU TERENGGANU, 25 Julai - Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) turun padang meninjau punca kejadian air sungai Lasir keruh  di kawasan pembalakan di hutan Hulu Terengganu hari ini.

Jabatan itu membuat penyiasatan secara menyeluruh sambil mengarahkan pelesen memenuhi spesifikasi yang ditetapkan bagi menghalang kejadian itu terus berlaku.

Kira-kira 20 kakitangan dengan menaiki lima buah  pacuan empat  roda diketuai Pengarah Perhutanan Negeri, Encik Mohd Rahim Rani, berlepas dari Pejabat Hutan Daerah Terengganu Barat, awal pagi ini menuju ke sungai berkenaan.

Rombongan  itu sampai ke destinasi kira-kira lebih sejam perjalanan melalui lereng bukit jalan becak.

Turut serta tiga kakitangan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam satu operasi dinamakan Terjah Bersama JPNT di Alur Sungai Lasir berhampiran Tasik Kenyir berikutan tular air  kawasan pelancongan itu keruh dipercayai akibat pembalakan tidak terkawal.
Jambatan dibina tidak mengikut spesifikasi menyebabkan air sungai Lasir keruh.

Dalam tinjauan UPDI didapati kegiatan pembalakan di alur sungai Lasir itu dihentikan sementara  sejak insiden tersebut  setelah diarah berbuat demikian oleh JPNT.

Hari ini pelesen masih berusaha membaiki untuk mitigasi (mengurangkan) kesan pembalakan termasuk aliran tanah ke dalam alur sungai akibat pembinaan jambatan dan jalan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

Pelesen yang enggan namanya disebut ketika  ditemui menjelaskan bahawa jalan balak sepanjang 2 kilometer baru diguna tidak sampai sebulan setelah mula dibina Mei lalu.

"Ia membabitkan jejambat sepanjang 75 meter dengan kelebaran kira-kira 10 meter dengan kos keseluruhan membina jalan sebanyak RM500 ribu," jelasnya.

Didapati jalan tanah merah itu terlalu lembut kerana masih baru dibina terutama ketika hujan turun hampir setiap hari sepanjang bulan Julai ini.

Air hujan menyebabkan tanah liat di kawasan itu turun ke alur sungai mengakibat air sungai menjadi keruh.
Warna kuning di tiang kayu (dalam bulatan merah) menunjukkan tanda zon penampan Sungai Lasir, 20 meter dari gigi air sungai berkenaan.

Difahamkan pembalakan tidak sesuai dijalankan akhir tahun kerana musim tengkujuh.

Didapati hanya seorang pelesen sahaja menjalankan aktiviti pembalakan di situ sebagaimana dibenarkan kerajaan.

Aktiviti pembalakan di situ dibenarkan seluas 229 hektar dan kemajuan pembalakan sebanyak 40 peratus.

Sementara zon penampan diukur 20 meter dari gigi air alur sungai di kedua-dua sisi.

Tidak dibenarkan aktiviti pembalakan  dijalankan oleh mana-mana pihak termasuk di kawasan pelesen, di  zon penampan di bahu sungai itu.

Alur sungai itu mengalir ke Sungai Lasir dan seterusnya ke Tasik Kenyir sepanjang 6 kilometer dan ia berada di pinggir kawasan pembalakan.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: