Wednesday, 17 July 2019

‘Nite Ride’ Rentasi Drawbridge

SHARE
Wan Sukairi menunjukkan t-shirt yang bakal diperolehi peserta.
KUALA TERENGGANU, 17 Julai - ‘Nite Ride’ yang berlangsung pada 23 Ogos nanti bakal merentasi ‘Drawbridge’ apabila ia dijadikan sebagai salah satu laluan dalam aktiviti berkenaan. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, program bersempena Ulang Tahun Ke-20 Bank Muamalat itu dipecahkan kepada dua kategori iaitu ‘Fun Ride’ sejauh 45 kilometer dan kayuhan 10 kilometer bersama keluarga yang terbuka buat seluruh rakyat Malaysia.

Jelasnya, kayuhan tersebut dijangka menghimpunkan sekitar 2,000 peminat sukan berbasikal dari seluruh negara sekali gus berjaya mempromosikan ‘Sports Tourism’ di Terengganu.

“Antara keistimewaan program ini adalah ia akan melalui laluan yang melibatkan Jambatan Sultan Mahmud, Lebuh Raya Pulau Sekati dan ikonik baharu Terengganu, Drawbridge sebelum terus ke garisan penamat di Batu Buruk.

“Untuk pertandingan ‘Nite Ride’ 45 kilometer ini juga, selain tarikan motosikal Y150 yang menjadi hadiah cabutan bertuah, tarikan melalui peserta juga tidak kurang hebatnya apabila Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah mengesahkan penyertaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena program Nite Ride 45 Kilometers di Tingkat 5, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Wan Sukairi mengajak seluruh masyarakat untuk menyertai acara ini.
Hadir sama dalam majlis tersebut, Penyelaras Pengurusan Acara Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Sabri Mustaffa, serta Timbalan Pengurusan Deposit dan Pemasaran Bank Muamalat, Wan Hosni Wan Kamal.

Mengulas lanjut tentang program itu, Wan Sukairi memaklumkan, penyertaan yang telah dibuka sejak 20 Jun dan akan berakhir pada 20 Julai itu sudah mencecah 1,500 penyertaan.

Katanya lagi, pendaftaran dibuka tanpa mengira peringkat umur dan terdapat pakej yang tidak dikenakan sebarang yuran.

“Peserta diberi pilihan sama ada mahu membuat pembayaran sebanyak RM100 atau RM50 atau tidak membuat sebarang pembayaran.

“Peserta akan mendapat sehelai jersi, pingat, makanan dan cabutan bertuah untuk bayaran RM100, manakala bagi bayaran RM50 pula, t-shirt, pingat, makanan serta cabutan bertuah akan diberikan,” tambah beliau.

Program tersebut juga mengetengahkan beberapa lagi kategori pertandingan, antaranya basikal berhias yang bakal menonjolkan bakat kreatif masyarakat dan akan diberikan hadiah lumayan.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai program ini boleh mendaftar secara atas talian di https://www.cognitoforms.com/NiteRite1/BANKMUAMALATNITERIDE atau menghubungi saudara Timber di 019-9285019.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: