Thursday, 11 July 2019

Lelongan Terbuka Mesej Kepada Pemilik Haiwan Berkeliaran

SHARE
Lelongan haiwan secara terbuka menarik perhatian masyarakat setempat.
MARANG, 11 Julai - Pihak Majlis Daerah Marang (MDM) melakukan lelongan awam lima ekor kambing bagi menyampaikan mesej kepada masyarakat berkaitan haiwan ternakan yang dibiarkan berkeliaran di tempat awam.

Yang Dipertua MDM, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata, lelongan tersebut merupakan yang pertama kali diadakan di kawasan terbuka.

“Hari ini, lelongan terpaksa diadakan berikutan tiada pemilik membuat tuntutan walaupun notis telah dikeluarkan lebih sebulan.

Huzairil maklumkan pihak MDM akan teruskan operasi tangkapan.
“Lelongan ini bertujuan menyampaikan mesej kepada pemilik haiwan ternakan supaya menjaganya dengan baik sekali gus menjernihkan persepsi negatif masyarakat tentang kaedah penyelesaian haiwan yang dirampas,” katanya ketika ditemui pemberita.

Beliau berkata demikian sewaktu meninjau lelongan awam yang diadakan di Pasar Bandar Marang, semalam.

Huzairil turut menegaskan, pihak MDM akan terus menggerakkan operasi menangkap haiwan-haiwan berkeliaran, bertujuan mengurangkan ancaman kepada keselamatan pengguna jalan raya.

“Bermula Januari lalu sehingga kini, sebanyak tujuh ekor lembu dan 18 ekor kambing berkeliaran telah ditangkap oleh MDM,” katanya.

Sekitar 50 peserta menyertai dan melakukan bidaan dalam lelongan tersebut  yang berakhir dalam masa kurang sejam.

Huzairil menyerahkan lelongan kepada pembida tertinggi.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: