Tuesday, 9 July 2019

Langkah Rundingan Untuk Keselamatan Di Lubuk Mandi - MB

SHARE
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
KUALA NERUS, 9 Julai - Kerajaan negeri mengambil pendekatan berunding dan mendidik pendulang emas Lubuk Mandi Marang supaya kesihatan dan keselamatan mereka diberi keutamaan dan dijaga dengan baik.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun kerja mendulang emas itu membabitkan pemantauan beberapa agensi Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri, tetapi dua perkara tersebut perlu diambil berat.

"Kita (kerajaan negeri) tidak mahu peristiwa yang berlaku, melibatkan bahan-bahan kimia sebagaimana yang berlaku di negeri lain, sebab itulah kita amat mengambil perhatian dalam soal ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Makan Malam Amal Media anjuran Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) di sebuah restoran di sini malam tadi.

Dilaporkan terdapat hampir 100 pendulang tidak berlesen di Lubuk Mandi menghentikan kegiatan tersebut ekoran bimbang kejadian kesihatan penduduk terjejas di Pasir Gudang Johor berlaku kepada mereka.

Seterusnya Dr Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri menasihatkan pendulang di kawasan tersebut supaya berwaspada dengan penggunaan bahan kimia kerana ia mempunyai kesan jangka panjang kepada kesihatan mereka dan penduduk sekitar.

"Jadi kita (kerajaan) tidak mahu penggunaan bahan-bahan berbahaya itu membawa akibat buruk kepada kesihatan mereka walaupun dari segi kesan jangka pendeknya tidak dilihat pada waktu ini tetapi ia mempunyai kesan jangka panjang.

"Kerajaan sebenarnya sudah berbincang dengan mereka ini supaya mengambil perhatian yang serius dalam perkara tersebut," ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, aktiviti mendulang emas merupakan tanggungjawab beberapa agensi peringkat negeri dan pusat, bukan sepenuhnya di bawah bidang kuasa negeri.

Sebagai contoh, kata beliau, Kementerian Kesihatan berkuasa dan bertanggungjawab kepada masalah kesihatan penduduk sementara kerajaan negeri lebih berkuasa dalam isu berkait dengan tanah.

"Walaupun sebenarnya bidang kuasa itu sudah jelas tetapi saya percaya paling penting adalah aspek keselamatan dan kesihatan warga tempatan yang berada di kawasan sekitar itu dan ia menjadi keutamaan," jelasnya.

Merka harus mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan, bertujuan untuk menjaga keselamatan mereka dan penduduk kawasan sekitar.

"Walaupun dari segi bidang kuasanya, kalau mereka menceroboh tanah kerajaan , maka tindakan boleh diambil pada waktu itu juga tetapi kita mengambil sikap berunding dan 'educate' (mendidik), tidak terus mengenakan tindakan undang-undang.

"Sementara mendulang di tanah persendirian sebenarnya mereka juga tertakluk di bawah Akta Pembangunan Mineral 1994 di mana pendulang perlu mendapatkan lesen mengeluarkan bahan-bahan galian.

"Jadi pendulang harus melalui proses (perlesenan tersebut) sebab proses ini bertujuan untuk melihat dari segi keselamatan dan kesihatan," ujarnya lagi.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: