Wednesday, 10 July 2019

Lab CBRT2020 Medan Dapatkan Input Rakyat

SHARE
Foto - Norekwan Mamat
KUALA TERENGGANU, 10 Julai - Pejabat Perbendaharaan Negeri dengan kerjasama Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) mengadakan Lab Cadangan Bajet Rakyat Terengganu (CBRT2020) di kesemua daerah negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TSIS, Dr. Wan Mat Sulaiman berkata, Lab CBRT2020 bertujuan mendapatkan input daripada rakyat secara menyeluruh untuk digunakan dalam ucapan Bajet 2020 oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Permulaan jelajah program ini adalah di Besut pada 7 Julai lalu diikuti Setiu (8 Julai) dan Hulu Terengganu (9 Julai).

“Manakala pada hari ini (10 Julai) diadakan Lab CBRT2020 berlangsung di Kemaman, sementara Dungun (11 Julai), Marang (17 Julai) serta lokasi terakhir adalah di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu iaitu pada 18 Julai depan,” ujarnya ketika dihubungi pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman, hari ini.

Katanya, sambutan yang diterima sangat menggalakkan di mana pelbagai pihak tampil memberikan pandangan masing-masing termasuk wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Badan Bukan Kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan orang awam.

“Dalam siri jelajah sebelum ini, rata-rata peserta berpuas hati kerana kerajaan negeri membuka ruang yang luas kepada rakyat negeri ini untuk bersama-sama berkongsi idea dengan kerajaan dalam merangka Bajet 2020 selaras dengan hasrat merealisasikan Terengganu Maju Berkat dan Sejahtera,” ujarnya.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: