Thursday, 4 July 2019

Kursus Pengucapan Awam Bina Keyakinan - Dr Alias Razak

SHARE
Para peserta kursus bergambar bersama Dr. Alias dan Kamaruzzaman.
KUALA NERUS, 4 Julai - Kemahiran pengucapan awam merupakan antara elemen penting yang perlu dimiliki oleh kakitangan kerajaan yang berurusan dengan masyarakat secara langsung.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Alias Razak berkata, kerajaan negeri memiliki banyak maklumat tetapi memerlukan barisan hadapan  yang bertindak sebagai penyampai yang baik kepada rakyat.

“Walaupun ada media sosial dan medium maya, kita tidak boleh meninggalkan amalan turun menyantuni rakyat secara langsung dengan penuh keyakinan.

“Lihat sahaja orang yang berniaga di Pasar Payang, barang jualannya rata-rata sama tetapi gaya bahasa, penyampaian operator membezakan hasil jualan masing-masing dan pengunjung yang datang,” katanya ketika berucap dalam perasmian penutup Kursus Pengucapan Awam Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) di Auditorium, Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, hari ini.
 
Kursus bantu petugas sampaikan maklumat dengan gaya bahasa dan keyakinan lebih baik- Dr. Alias.
Hadir sama dalam program berkenaan ialah Pengarah i-MiTS, Kamaruzzaman Abdullah, Pegawai Eksekutif Kompleks Sukan, A. Zulkifli Muhammad dan Ketua Penyelia i-MiTS Kuala Nerus, Jusoh Ngah.

Seramai  171 peserta daripada kakitangan i-MiTS terutama dalam bahagian-bahagian yang melibatkan belia, khidmat masyarakat dan kaunter hadir bagi menambah ilmu berkenaan pengucapan awam yang julung kali diadakan jabatan berkenaan.

Dr. Alias mewakili kerajaan negeri turut berharap supaya ilmu yang disampaikan dapat digunakan sebaiknya dalam membantu kerajaan menyampaikan maklumat dan mengukuhkan hubungan antara dua komponen itu.

“Jangan malu jika kurang mahir, sebaliknya berlatih sehingga dikurniakan Allah SWT kemahiran tersebut, insya-Allah, apa yang keluar daripada mulut kita adalah cerminan dari hati kita,” katanya.
 
Kamaruzzaman rancang lebih banyak kursus bagi pertingkat kemampuan i-MiTS.
Dalam pada itu, Kamaruzzaman sempat memaklumkan, i-MiTS dalam pemerkasaan.

“Bermula tahun lalu, kita telah mengadakan motivasi untuk pelajar sederhana dan bermasalah di mana ia mendapat sambutan baik sepanjang dianjurkan.

“Seterusnya, kita merancang kursus Teknologi Maklumat (IT) supaya petugas kita memiliki kepakaran dan menguasai alam maya,” katanya.

Katanya, Dr. Azhar Yaakob akan melaksanakan modul mendekatkan masyarakat kepada al-Quran.

“Bagaimanapun, kita akan pastikan semua kakitangan i-MiTS melalui modul ini dahulu sebelum disampaikan kepada masyarakat,” katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: