Tuesday, 9 July 2019

Kita Tidak Akan Toleh Ke Belakang - MB Terengganu

SHARE

KUALA NERUS, 9 Julai - Kerajaan negeri tidak akan menoleh ke belakang dan akan bergerak terus mencari jalan untuk memperkukuhkan penguasaan sukan di Terengganu, dengan menyedari bahawa Terengganu adalah sebuah negeri kuasa utama sukan negara.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagi tujuan tersebut, kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) mengadakan Bengkel Penyediaan Pelan Induk Pembangunan Sukan Sepuluh Tahun Negeri Terengganu (2021-2030) di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak selama empat hari, bermula hari ini.

"Bengkel tersebut bertujuan menyediakan satu perancangan yang kukuh dan lebih berfokus bagi semua sukan untuk tempoh 10 tahun akan datang yang bermula pada 2021.

“Ianya merupakan kesinambungan kepada Pelan Induk Pembangunan Sukan Sepuluh Tahun Negeri Terengganu sebelum ini yang akan berakhir pada 2020.

“Pelan yang lalu telah membuktikan bahawa perancangan jangka panjang yang bersepadu telah menghasilkan kejayaan cemerlang bagi sukan negeri di persada kebangsaan dan antarabangsa,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Bengkel Penyediaan Pelan Induk Pembangunan Sukan Sepuluh Tahun Negeri Terengganu (2021-2030) di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah MSNT, Ibnu Amin Busu.

Katanya, semua pihak menyedari bahawa Terengganu adalah sebuah negeri kuasa utama sukan negara.

"Dengan beberapa testimoni menyaksikan Terengganu menjadi juara Sukan Malaysia (SUKMA) yang lalu dan beberapa kali sebelum ini, serta mewakili negara dalam temasya yang besar seperti Sukan Sea, Asia, Komanwel dan Olimpik.

“Jadi, bengkel yang diadakan ini lebih berfokus di mana setiap pasukan sukan akan berbincang dalam kumpulan masing-masing kerana mereka lebih memahami kedudukan sukan, apakah kekuatan dan kelemahan, peluang-peluang yang ada dan sebagainya.

“Dengan cara itu (perbincangan secara kumpulan sukan masing-masing), saya rasa ianya lebih memudahkan peserta bengkel ini untuk mencapai matlamatnya,” ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: