Wednesday, 10 July 2019

Kes Adik Ruby Diberi Perhatian JKM

SHARE
Zuraida sempat menziarahi adik Ruby dan keluarganya baru-baru ini


Oleh: Aslam Wira

MARANG, 10 Julai - Nur Rabiatul Adawiyah Tajuddin, 8, yang mesra dipanggil Adik Ruby terkini telah dipindahkan ke Rumah Tunas Harapan (RTH) Darul Hilmi di Seberang Takir selepas kesnya di ambil perhatian oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Kisah si kecil ini  bersama dua moyangnya, yang sakit tua dan uzur ditambah dengan kedua ibu bapanya terlibat dengan masalah penyalahgunaan dadah berjaya dikesan oleh JKM dan seterusnya menghantarnya ke  RTH  sebuah rumah kanak-kanak sistem berkeluarga yang berperanan memberi jagaan, perlindungan dan kasih sayang dalam suasana sebuah keluarga kepada kanak-kanak yang terabai.

Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Marang, Suzanna Ismail berkata adik Ruby akan lebih terjaga dan selamat kerana di RTH adalah tempat yang mengamalkan sistem berkeluarga dan suasana pendidikan yang lebih teratur.

“Alhamdulillah, kita berjaya selamatkan adik Ruby di mana istilah ini kita guna kepada kanak-kanak yang diabaikan dari sudut penjagaannya dan kehidupan berkeluarga yang tidak terurus dan terdedah dengan masalah sosial.

“JKM Marang juga telah menyalurkan bantuan am kepada dua moyangnya, Sulong Muhammad, 100, dan Halimah Mamat, 92,  secara bulanan dan berhubung dengan waris berkenaan hak penjagaan atau persetujuan untuk ditempatkan di Pusat Jagaan Orang Tua,”katanya.

Beliau berkata demikian  kepada pemberita ketika ditemui  selepas ziarah bersama Ahli Dewan Undangan Negeri  (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor di Kampung Kijing, baru-baru ini.

Turut hadir adalah Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman, Guru Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan Rhu Rendang, Haznida Hashim, Kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat Marang, Kakitangan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Rhu Rendang dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung  (MPKK) Kijing.

Sementara itu, Zuraida yang ditemui berkata, beliau merasa  gembira kerana kes adik Ruby dapat disegerakan serta tidak diabaikan supaya masa depannya lebih terjaga kerana masalah ini tidak boleh diambil ringan dan dibiarkan berlanjutan begitu sahaja.


” Dalam masa yang sama, saya berharap pihak tertentu untuk terus memberikan sokongan moral kepada bapanya supaya dia tidak rasa dipinggirkan.

“Mereka bukan mahu melarikan atau berniat memisahkan tapi perkara ini memberi kesan yang amat besar kerana ianya mempengaruhi persekitaran lebih-lebih lagi adik Ruby sedang mengalami proses meningkat dewasa,”ujarnya lagi.

Terdahulu, beliau  sempat menemani adik Ruby membeli pakaian baharu dan keperluan lain untuk proses kemasukan ke RTH.

Zuraida yang juga baru dilantik sebagai Pengarah Ameerah Malaysia, juga akan berbincang bersama Ameerah DUN Rhu Rendang untuk memberikan khidmat masyarakat seperti membersih rumah kedua nenek Halimah dan Sulong supaya kehidupan mereka dari segi kebersihan, keperluan harian dan kesihatan diri khususnya lebih terjaga.

“Kita juga akan tolong dari aspek kerohanian, kerana mereka tidak dapat menguruskan diri, jadi mungkin menjadi kekangan untuk mereka kurang berminat atau tidak berupaya untuk menunaikan solat serta mendekatkan diri kepada Allah,”tambahnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: