Monday, 15 July 2019

Sidang DUN : Kerajaan Negeri Tubuh Jawatankuasa Khas Selesaikan Isu Pulau Bayas

SHARE

KUALA TERENGGANU, 15 Julai - Kerajaan negeri telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyelesaikan isu kelewatan penyiapan Projek Bebas Cukai di Pulau Bayas, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, Jawatankuasa Menilai Serta Menyelesaikan Isu Pulau Bayas itu dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh.

Menurut beliau, purata kemajuan keseluruhan projek berkenaan telah mencapai 77 peratus dan ketidakupayaan kontraktor untuk meneruskan projek berkenaan adalah disebabkan masalah kewangan yang menyebabkannya tergendala hampir dua tahun.

Ariffin berkata, perbelanjaan semasa yang telah dibelanjakan adalah RM188,117,514.63 daripada kos keseluruhan projek RM243,555,183.35 bagi kesemua enam pakej yang terlibat dalam pembangunan bebas cukai Pulau Bayas.

“Pakej pembangunan Pulau Bayas ada enam yang mana pakej empat dan enam telah siap sepenuhnya dan yang mengalami kelewatan melibatkan pakej satu, dua, tiga dan lima yang mana jumlah keseluruhan denda yang dikenakan sehingga 30 April 2019 terhadap pakej yang mengalami kelewatan ini adalah sebanyak RM10,432,098.70.

“Kerajaan negeri sedang mempertimbangkan perkara ini kerana jika diteruskan, kos yang diperlukan melebihi RM75 juta sedangkan peruntukan yang ada hanya berbaki RM55 juta,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media sempena Sidang Dewan Undangan Negeri Keempat Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri sedang mempertimbangkan beberapa cadangan sebagai usaha untuk menyelesaikan isu ini.

“Bagi menangani kelewatan pembangunan Pulau Bayas, pihak kerajaan ada beberapa mekanisma yang dicadangkan, antaranya kontrak diteruskan dengan tarikh penyiapan baru melalui perjanjian tambahan kepada kontrak asal.

“Dengan langkah berkenaan, kos pembinaan adalah sebagaimana kontrak asal (kadar harga asal), tarikh penyiapan baru melalui perjanjian tambahan yang mengambi lkira faktor kelewatan penerimaan bayaran dan faktor-faktor lain berkaitan serta pembekal sedia ada dan waranti pembinaan dapat diteruskan.

“Cadangan kedua, penamatan kontrak secara persetujuan bersama melalui perjanjian tambahan, antara kelebihannya rundingan antara pihak kontraktor dan kerajaan boleh dibuat untuk mencapai persetujuan bersama bagi menyelesaikan sebarang tuntutan dan ketiganya adalah dengan penamatan pengambilan kerja kontraktor disebabkan oleh kemungkiran kontraktor,” ujarnya.

Katanya, dengan masalah yang dihadapi, pihak kerajaan juga sedang menimbangkan beberapa perkara tentang projek pembangunan Pulau Bayas.

“Pertamanya, projek ditender semula untuk kerja-kerja penyiapan oleh kontraktor yang layak dengan skop dan reka bentuk bangunan asal.

“Kedua, projek ditender semula untuk kerja penyiapan dengan membuat perubahan reka bentuk dan spesifikasi pembinaan bagi membolehkan projek dapat disiapkan dan digunakan dengan kos yang lebih rendah berbanding skop kerja dan reka bentuk asal. Dan ketiga, alternatif bagi penyiapan oleh pihak pelabur swasta dengan mengambil kira faktor dan kajian yang lebih menyeluruh hala tuju projek,” ujarnya.

Menurut beliau, sehingga Mei lalu, pakej pertama yang tergendala melibatkan Kerja-Kerja Membina Dan Menyiapkan Bangunan Terminal Utama, Jeti Penumpang, Jeti Servis dan Kerja-Kerja Berkaitan yang mana harga kontrak asal berjumlah RM70,993,030.30 dan mencapai kemajuan 80.84 peratus.

“Pakej kedua ialah Kerja-Kerja Membina Dan Menyiapkan Kompleks Membeli Belah Dan Kerja-Kerja Berkaitan (harga kontrak RM57,950,500.00 dan peratus kemajuan 55.04 peratus).

“Pakej ketiga ialah Kerja-Kerja Membina Dan Menyiapkan Pencawang Elektrik, Sistem Agihan Bekalan Voltan Tinggi Dan Rendah Serta Kerja-Kerja Berkaitan (harga kontrak asal RM8,915,000.00 dengan peratus kemajuan 73.45.

“Pakej kelima adalah Kerja-kerja Membina Dan Menyiapkan Sistem Rawatan Air, Sistem Rawatan Kumbahan Dan Kerja-Kerja Berkaitan (harga kontrak RM13,283,094.80 dengan peratus kemajuan 79.90,” ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: