Tuesday, 16 July 2019

Kerajaan Negeri Kaji Kawasan Berisiko Banjir Kilat

SHARE
Dr Mamad Puteh.
KUALA TERENGGANU, 16 Julai - Kerajaan negeri akan mengkaji secara menyeluruh untuk menyelesaikan masalah kawasan yang berisiko mengalami banjir kilat di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, ini termasuk merangka pelan induk bagi mengatasi masalah banjir kilat di dua daerah tersebut.

Bagaimanapun katanya, kerajaan telah berjaya menyiapkan saliran di Padang Negara dengan kos RM15.8 juta.

Kerajaan juga merancang untuk membina kawasan kolam tadahan hujan di Gong Kiat dengan kos RM7 juta dan di Tok Jiring Kuala Nerus dengan kos RM100 juta.

"Kerajaan negeri belum membuat kajian secara menyeluruh bagaimana menyelesaikan masalah pelan induk itu kerana ia melibatkan masa yang lama dan kajian beberapa aspek di kawasan terbabit," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Sidang Dewan Undangan Negeri Keempat Belam, di Wisma Darul Iman, di sini semalam.

Jelasnya, kerajaan negeri telah membuat kajian untuk menyiapkan kolam tadahan hujan di Kubang Ikan, Chendering berhampiran kawasan sekitar Istana Syarqiyah.

Menurut beliau, untuk merangka pelan induk sahaja, kerajaan negeri terpaksa menyediakan kos sebanyak RM1.2 juta membabitkan kajian dan gerak kerja di lapangan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang berkata, kolam tadahan ini membabitkan banyak tempat termasuk di Kampung Kubang Ikan, Chendering dan Batu Burok serta kawasan berhampiran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Kuala Nerus.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: