Saturday, 20 July 2019

Kerajaan Negeri Bangun Pertanian Generasi Kedua Felda Selasih - Dr Azman Ibrahim

SHARE
Dr Azman Ibrahim (berbaju kelabu) beramah mesra dengan anak-anak pelajar.
Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 20 Julai - Kerajaan negeri menyasarkan pembangunan pertanian bagi generasi kedua Felda Selasih, Jabi bagi memajukan dan meningkatkan kadar jumlah penduduk yang semakin berkurangan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, penghijrahan penduduk ke bandar bagi mencari rezeki antara faktor pengurangan ini berlaku.

“Untuk Sekolah Kebangsaan Felda Selasih ini, sebenarnya di peringkat kerajaan terdapat perancangan untuk meramaikan dewan ini sebab kapasiti dewan sekolah ini boleh memuatkan seramai lebih 90 orang daripada yang ada sekarang ini.

"Insya-Allah, kita dalam perancangan untuk membuka tapak rumah, tapak pertanian dengan keluasan sekitar lima ekar seorang dan tapak padang ragut untuk generasi kedua Felda Selasih,” ujarnya.


"Matlamat kita supaya anak-anak generasi kedua tidak pergi jauh, biar sama-sama duduk di kampung untuk bersatu membangun dan memajukan kampung yang sangat unik dan digambarkan seperti New Zealand oleh guru besar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Science Show Universiti Sains Islam Malaysia Negeri Sembilan di Sekolah Kebangsaan Felda Selasih, di sini kelmarin.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, usahasama pihak sekolah dalam memupuk minat pelajar terhadap ilmu Sains amat penting dengan menyedari bahawa Sains adalah antara khazanah ilmu Islam.


Ianya bukan ilmu mutlak dan hak orang barat malah ia semakin mendekatkan manusia kepada Allah.

"Sekarang ini, pelajar sekolah di luar bandar tidak lagi melihat Sains dan Matematik ini subjek yang susah. Dulu bila disebut Sains dan Matematik, terus semua geleng kepala. Alhamdulillah, kini semua sudah mampu berdaya saing.

"Fakta yang ada dalam al-Quran dibuktikan melalui kajian Sains. Sebab apa ia benar? Sebab fakta yang dinyatakan itu oleh Pencipta Alam ini, Tuhan Yang Maha Mengetahui,’’ katanya.

Menurut  Dr Azman, pada tahun 2002 sehingga 2006, National Aeronautics and Space Administration (NASA) telah membuat kajian bagi mencabar fakta daripada al-Quran tentang jumlah hujan yang turun setiap tahun adalah kadar yang sama.

"Akhirnya mereka temui kebenaran fakta yang dikemukakan oleh al-Quran yang sememangnya jumlah hujan turun di muka bumi ini setiap tahun sama. Cuma yang membezakan ialah di mana dan bila ianya turun,’’ tambahnya.

"Kata Ibnu Abbas bagi menghuraikan makna 'dengan kadar' ini , hujan yang turun dari langit sebenarnya kadarnya sama setiap tahun. Sekiranya tidak sama, ia akan menjadikan kitaran air atas muka bumi ini menjadi tidak seimbang.

"Sebab itu saya sebut sekali lagi, kita jangan pisah Sains dengan agama Islam dan jangan menganggap ilmu orang lain, kita tumpang-tumpang je.

"Sebenarnya orang barat yang tumpang kita. Cuma dia ambil ilmu , mereka tinggal akidah. Kita nak ambil ilmu Sains dan akidah supaya ilmu yang diperoleh ini dia semakin mengukuhkah akidah," tegasnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: