Wednesday, 10 July 2019

Kekalkan Kejuaraan SUKMA Latihan Masuk Fasa 2

SHARE
Ustaz Wan Sukairi (kiri) bersalaman dengan seorang etlit di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Nerus.

KUALA TERENGGANU, 10 Julai – Terengganu membawa misi mengekalkan kejuaraan di SUKMA XX Johor 2020 dengan latihan agresif masuk Fasa Dua.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, fasa dua ialah mendedahkan atlet-atlet dengan pertandingan yang banyak.

“Pemilihan pertandingan bersesuaian, sangat penting terutama sekali untuk membuat penilaian sebenar sama ada pasukan kita (Terengganu) atau pasukan lawan lebih baik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perhimpunan Kontinjen Terengganu Menjelang Satu Tahun SUKMA XX Johor 2020 di Komplek Sukan Negeri Gong Badak di sini malam ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata, dalam fasa ini juga ada kemungkinan latihan dan pertandingan di luar negara diberi kebenaran dengan memilih pertandingan yang berkualiti sesuai dengan keperluan dan tahap atlet Terengganu.

"Pendedahan sebegini mampu melonjakkan prestasi atlet terpilih terutama atlet sasaran emas," jelasnya.
Ustaz Wan Sukairi (tengah) bercakap kepada media selepas Majlis Perhimpunan Kontinjen Terengganu Menjelang Satu Tahun SUKMA XX Johor 2020 di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak Kuala Nerus.
Sementara pertengahan atau penghujung latihan Fasa Tiga, beliau menasihatkan supaya penyertaan dalam kejohanan-kejohanan dalam negara dikurangkan tetapi lebih banyak pendedahan pertandingan di luar negara.

"Ini bagi memastikan pasukan lain tidak dapat menjangka kekuatan kita sehinggalah pada hari kejohanan sebenar nanti," ujarnya lagi.


Sementara itu ketika bercakap kepada media beliau berkata, Terengganu masih lagi menumpukan kepada acara sukan berbasikal, kanu dan perahu layar sebagai sasaran untuk mengekalkan kejuaraan SUKMA.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: