Tuesday, 30 July 2019

Kebersihan Tanggungjawab Semua Pihak - ADUN Tepoh

SHARE

Oleh: Mohd Zukifli Mat

KUALA NERUS, 30 Julai - Pelancaran Tepoh Ceria pada 26 Julai yang lalu di Padang Bola Sepak Tok Jiring di sini dilihat sebagai usaha membentuk proses kesedaran sivik yang tinggi di kalangan  masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, program yang julung kali diperkenalkan di Tepoh itu disifatkan bertepatan dengan slogan Kerajaan Terengganu iaitu Maju, Berkat dan Sejahtera.

“Program ini akan menjadi kempen berterusan tanpa tarikh tamat. Ia akan diselaraskan di peringkat MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) untuk membentuk sikap bertanggungjawab bermula dari bawah.

"Yang paling penting adalah ia mesti dimulai dari dalaman seseorang. Dari lubuk hati yang dalam akan melahirkan luaran yang mampu menterjemahkan cara hidup yang lebih membanggakan.

“Bagi merealisasikan hasrat ini, kita bersama membentuk suasana yang lebih baik. Umpamanya, alasan tong sampah tidak mencukupi, kami akan tambah sebahagian khususnya di kawasan padat penduduk.


Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 200 orang hadirin pada Majlis Pelancaran Tepoh Ceria di Padang Sintetik Tok Jiring.

Turut hadir, Ahli Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Mohd Sidek Abdullah, Penolong Pengarah Jabatan Kebersihan dan Kesihatan MBKT, Suzaimi Mazlan serta Pengerusi-pengerusi MPKK seluruh kawasan DUN Tepoh.


Menurut Hishamuddin, pelbagai aktiviti akan disusun secara berterusan, antaranya Plogging For Tepoh Ceria, kempen kebersihan selepas solat Jumaat di masjid terpilih, pemasangan papan tanda, penubuhan sukarelawan, kempen maya dan pelbagai acara lain yang bakal diperkenalkan dari masa ke masa.

Program ini melibatkan kerjasama penuh pihak MBKT, MPKK dan akan melibatkan sokongan sektor pendidikan agar proses pembentukan ini dimulakan seawal peringkat sekolah.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: