Monday, 15 July 2019

Jom, Bina Kebun Depan Rumah - Dr. Azman

SHARE
Dr Azman Ibrahim.
Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 15 Julai - Rakyat Terengganu diseru memanfaatkan ruangan di sekeliling rumah dengan bercucuk tanam menggunakan kaedah fertigasi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, melalui kaedah tersebut hasil tanaman diperoleh semaksimum mungkin meski dalam ruangan yang terhad.

“Daripada tanam pokok puding dan bunga kertas,  lebih baik kita tanam sesuatu yang boleh dimakan. 

“Sekurang-kurangnya apabila  memasak singgang ikan, kacang bendi sudah ada di rumah. Walaupun dalam skala kecil, kita lebih yakin dari segi kesuciannya selain boleh dijadikan hobi waktu lapang,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap meraikan rombongan Muslimat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh yang bertandang ke Jabi dalam Program Lawatan Mahabbah, semalam.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu turut  menyarankan rakyat yang berminat boleh mendapatkan bantuan daripada agensi-agensi berkaitan.

“Teknologi sekarang sudah semakin maju. Sekiranya tiada kemahiran, Pejabat Pertanian serta  Peladang menyediakan macam-macam kursus samada jangka pendek, sederhana untuk dimanfaatkan dan paling penting, ia ditawarkan secara percuma.

“Benda ini kita boleh buat di sekeliling rumah. Ia sangat mudah dan kita dapat membudayakan pertanian ini selaras hasrat kerajaan untuk menjadikan Terengganu sebagai hab pengeluaran makanan,“ katanya seraya menegaskan bahawa negeri itu memiliki potensi pertanian yang baik.

“Kita sebenarnya tidak ketinggalan dari segi pertanian. Kaedah menggunakan ‘polybag’ amat memudahkan proses tanaman yang mencampurkan bahan medium seperti sabut, hampas kelapa sawit dan juga barang-barang kompos lain.

Pelbagai  tanaman telah dihasilkan seperti lada, terung, kacang bendi, Nenas MD2 serta Melon Manis Terengganu yang hari ini menjadi ikon pertanian negeri,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan pihaknya masih berbincang dengan pihak TDM Berhad bagi mendapatkan hampas kelapa sawit atau kompos secara percuma sebagai satu Corporate Social Responsibility (CSR) untuk menolong rakyat yang mahu terlibat dalam pertanian  secara fertigasi.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: