Saturday, 13 July 2019

Hidup Susah Bukan Penghalang Kejayaan - Dr. Azman Ibrahim

SHARE

Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 13 Julai - Setiap insan berdepan pelbagai cabaran dan ujian berbeza dalam kehidupan. 

Sedar atau tidak, hal-hal itu yang akhirnya membentuk seseorang itu sebagai insan yang berjaya atau gagal.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, Dr. Azman Ibrahim, kebanyakan orang yang berjaya lahir dari mereka yang pernah melalui kehidupan sukar.

Malah, mereka juga akan lebih menghargai perkara yang berlaku di sekelilingnya setelah melepasi fasa kesusahan tersebut.

“Kehidupan yang susah ini sebenarnya satu pengalaman berharga yang tersimpan apabila kita berjaya.

"Orang panggil, jenis yang tidak mudah ‘bertukar kulit’ kerana apa yang dilalui akan mematangkan diri dan jiwa kita pada akhirnya.

“Dalam hidup, banyak benda yang terbatas, tetapi ingatlah bahawa keinginan semangat kita tiada siapa boleh halang,” katanya.

Berkongsi pengalaman, beliau turut mengimbau kenangannya ketika membesar suatu ketika dahulu.

Baginya, setiap orang pasti memiliki cerita berbeza yang berharga untuk dikongsi.

"Saya seorang anak petani, bila tiba musim kutip  tembakau, usai sahaja sesi persekolahan saya akan terus ke padang bimbang tidak sempat selesai mengutip daun.

"Ayah mempunyai sebuah motosikal jenis Honda 70 dan dengan motor itulah beliau mencari rezeki  menjual ubi.

"Jadi, untuk pergi dan pulang sekolah, saya biasanya hanya berjalan kaki sekitar jarak satu batu lebih berbekalkan duit saku 10 sen dan kadang-kadang 20 sen," ceritanya.

Perkongsian itu disampaikan ketika merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan Pertengahan Tahun dan Temu Murni Tingkatan Satu hingga Lima bertempat di Dewan Jauhari Sekolah Menengah Kebangsaan Renek, baru-baru ini.

Di hadapan anak-anak yang sedang bersemangat itu, Dr. Azman turut menyisipkan motivasi;

“Sebenarnya Allah SWT jadikan kita manusia ini semua cerdik bijak belaka. 'Genius’ luar biasa dalam dunia ini, bilangannya tidaklah sampai sepuluh orang.

"Bakat, kebolehan dan kecerdikan terpendam anak-anak selalunya berjaya dicungkil oleh para guru dengan bantuan dan kerjasama Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG).

"Maka, ringankanlah bibir kita untuk mengungkapkan terima kasih atas tungkus-lumus dan usaha mereka," ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: