Tuesday, 23 July 2019

Harungi Ibadah Haji Sebaik Mungkin - ADUN Kemasik

SHARE
Saiful Azmi (kiri) beramah mesra dengan bakal tetamu Allah.

Oleh: Ahmad Syahid Adnan

KEMAMAN, 23 Julai – Bakal jemaah haji dinasihatkan mengambil peluang menjadi tetamu Allah sebaik mungkin supaya ibadah tersebut menjadi sesuatu yang bermakna pada diri masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, rukun Islam kelima itu merupakan salah satu ujian Allah untuk hamba-Nya bagi menguji kesabaran dan keimanan seseorang.

“Setiap orang sudah pasti berlainan cara diuji oleh-Nya, ada yang sedikit dan ada yang banyak,

“Ada yang diceritakan tidak jumpa jalan pulang ke tempat penginapan di sana semasa menunaikan haji, itu juga antara ujian semasa menunaikan haji,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Jemaah Haji di Masjid Felda Kerteh 6, petang semalam.
Bakal jemaah haji diraikan.
Hadir sama, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Felda Kerteh 6, Musa Mohamad.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Industri, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri turut mengingatkan jemaah haji tentang ganjaran besar akan diperoleh mereka yang melakukan ibadah dengan sempurna.

“Sekiranya haji kita diterima oleh Allah, dosa-dosa kita sebelum ini insya-Allah akan dihapuskan, semestinya ia juga dapat menambah baik ibadah dalam mematuhi perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya.

“Dalam masa yang sama, doakan juga buat negeri tercinta kita agar Terengganu menjadi sebuah negeri yang Maju, Berkat dan Sejahtera,” tambahnya.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: