Friday, 26 July 2019

Harimau : Tunggu Hasil Siasatan - MB Terengganu

SHARE
Ahmad Samsuri menegaskan kerajaan negeri sentiasa memantau dari semasa ke semasa siasatan yang dijalankan Perhilitan.
KUALA NERUS, 26 Julai - Kerajaan Terengganu sentiasa mengikuti perkembangan siasatan pihak berkuasa berhubung aktiviti pembalakan dan perlombongan di Bukit Besi, Dungun, yang didakwa menjadi penyebab kemusnahan habitat harimau sehingga haiwan itu tersesat ke sebuah perkampungan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kajian mengenai perkara itu masih lagi dilakukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Jabatan Perhutanan.

Jelasnya, kerajaan negeri akan mengambil tindakan yang sesuai selepas meneliti hasil siasatan berkenaan.

“Sesiapa sahaja boleh buat sebarang dakwaan, namun tindakan akan diambil selepas siasatan terperinci pihak berkuasa selesai dan kerajaan negeri mengambil berat tentang isu ini.

“Kita sentiasa pantau agar semuanya mengikut piawaian dan peraturan yang ditetapkan, bukan hanya ketika berlakunya kes harimau ini sahaja,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah 160 Unit Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) di Tok Jembal, di sini kelmarin. 

Ahmad Samsuri turut berharap agar tiada mana-mana pihak membuat sebarang spekulasi awal berhubung kejadian tersebut sebelum laporan siasatan penuh dilakukan Perhilitan dan Jabatan Perhutanan.

Minggu lepas, penduduk Kampung Besol Lama, Bukit Besi, gempar dengan kehadiran dua ekor harimau yang dikatakan jinak kerana tidak menyerang haiwan dan manusia, malah beberapa video mengenai harimau itu juga tular di media sosial.

Bagaimanapun, seekor harimau tersebut yang berjaya ditangkap disahkan mati pada awal pagi kelmarin akibat virus 'Canine Distemper', sejenis penyakit yang menyerang saluran pencernaan, pernafasan dan sistem saraf pusat haiwan.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: